MCW gesa SPRM & PAC siasat isu jualan saham MAHB oleh KWSP

 


Berikut adalah kenyataan media Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim hari ini:

1.  Merujuk kepada isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada harga rendah sebelum membelinya semula pada harga premium, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan bahawa perkara ini perlu disiasat dengan serius oleh pihak berwajib, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).  

2.  MCW menekankan bahawa KWSP bertanggungjawab untuk mengurus dana 16 juta ahlinya dengan penuh telus dan berhemah. Kerugian RM500 juta akibat keputusan pelaburan yang kelihatan bercanggah dengan logik pasaran mesti dijelaskan kepada umum. Isu ini mencetuskan persoalan serius tentang integriti dan kecekapan pengurusan maklumat serta proses membuat keputusan dalam KWSP.  

3.  Dakwaan kemungkinan wujudnya perdagangan orang dalam (insider trading) tidak boleh dipandang ringan. Jika benar terdapat perjanjian sulit antara pihak-pihak tertentu, ia menunjukkan kelemahan kawalan dalaman dan potensi salah guna kuasa. SPRM perlu menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah yang melibatkan individu atau entiti tertentu dalam urus niaga ini.  

4.  KWSP mengurus dana hasil titik peluh rakyat Malaysia. Sebarang keputusan yang menjejaskan dividen ahli perlu dinilai secara kritikal, kerana ia melibatkan hak ekonomi rakyat. Kerugian sebesar RM500 juta berpotensi memberi kesan langsung kepada kadar dividen yang diagihkan, dan ini bertentangan dengan objektif KWSP untuk memaksimumkan pulangan pelaburan ahli.  

5.  MCW menyeru KWSP untuk mengkaji semula mekanisme kawalan dan pemantauan pelaburan, termasuk memperkukuh pengurusan risiko dan meningkatkan ketelusan dalam proses membuat keputusan. KWSP juga harus memastikan bahawa semua pelaburan dibuat berdasarkan prinsip yang mengutamakan kepentingan ahli.  

6.  MCW menggesa:  

- SPRM dan PAC menjalankan siasatan mendalam terhadap transaksi ini.  

- Kementerian Kewangan memastikan pelaburan oleh badan pengurusan dana awam dilaksanakan secara profesional dan telus.  

- KWSP memberikan penjelasan lengkap kepada ahli dan rakyat tentang justifikasi serta strategi di sebalik keputusan ini.  

7.  MCW percaya bahawa tindakan segera, menyeluruh dan telus akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi yang diamanahkan untuk mengurus dana awam. 


BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan