PAS Pulau Pinang mendakwa Akta Pembaharuan Bandar (URA) yang dicadangkan kerajaan merupakan agenda halus untuk mengusir rakyat miskin dari kawasan bandar dan membuka peluang kepada golongan kapitalis memonopoli penempatan tersebut.
Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, akta yang dikemukakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu kononnya bertujuan menambah baik Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah serta Akta Perancangan Bandar dan Wilayah.
“Namun, ternyata akta ini memaparkan agenda licik kerajaan yang ingin mengusir rakyat miskin secara halus dari kawasan bandar serta memberi peluang kepada golongan kapitalis memonopoli penempatan di kawasan terbabit.
“Justeru, cadangan penggubalan akta ini perlu dibantah kerana impaknya akan menafikan hak dan menindas golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut Muhammad Fawwaz, sekiranya akta itu dilaksanakan, pemilik asal tanah yang terdiri daripada penduduk berpendapatan rendah termasuk orang Melayu, Cina dan India akan kehilangan hak milik mereka untuk pembangunan.
“Selepas kawasan tersebut dimajukan, mereka tidak mampu lagi membeli rumah di lokasi berkenaan kerana harga jualan dijangka melebihi RM500,000.
“Keadaan ini akan memaksa penduduk asal berpindah ke kawasan lebih terpencil disebabkan ketidakmampuan membayar ansuran bulanan yang tinggi,” jelasnya.
Beliau menegaskan, tindakan itu jelas merupakan satu bentuk diskriminasi kaum yang tidak boleh ditolak ansur, selain penindasan terhadap golongan B40 dan M40 perlu dihentikan segera.
“PAS Pulau Pinang bersama seluruh entiti parti politik dan badan bukan kerajaan membantah sekeras-kerasnya akta ini demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya.
0 Ulasan