Ustazah Asma' nafi fitnah kaitkan sokongan terhadap McDonald's

 


Pendakwah terkenal, Asma' Harun menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengaitkan dirinya dengan sokongan terhadap syarikat makanan segera, McDonald's, sambil menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah fitnah dan rekaan semata-mata.

Beliau menjelaskan, kenyataan itu adalah fitnah yang nyata dengan niat yang tidak baik manakala gambar tersebut diedit. 

"Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau tulisan seperti yang didakwa. Semua tulisan di hantaran ini adalah rekaan dan satu penipuan," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Asma' turut memohon agar hantaran berkenaan serta sebarang kandungan serupa diturunkan dengan segera, sambil menjelaskan kehadirannya di satu majlis adalah atas jemputan biasa. 

"Saya mohon agar hantaran ini dan lain-lain seperti ini diturunkan segera. Saya menerima jemputan ini daripada pihak Markaz Al Qarahdaghi untuk berkuliah di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13. 

"Saya hadir bagi memenuhi undangan, sama seperti undangan dari masjid-masjid yang lain," katanya.  

Beliau menambah, McDonald’s Malaysia telah menyampaikan bantuan kepada para asnaf sebelum sesi ceramah, kemudian turut memuat naik dalam laman rasmi mereka.

Asma' juga melahirkan rasa terima kasih kepada mereka yang mengambil berat untuk menyelidik isu tersebut tanpa terus menyerang atau memanaskan keadaan. 

"Terima kasih kepada semua yang menyelidik dan memahami apa yang sedang berlaku, tidak terus menyerang dan memanaskan," ujarnya.  

Beliau juga berharap agar kenyataannya itu diterima tanpa soalan susulan atau sangkaan baru. 

"Saya tidak dapat membalas satu persatu mesej yang masuk dengan cara baik atau sebaliknya. 

"Cukuplah kenyataan ini diterima tanpa memaksa saya dengan soalan susulan atau sangkaan baru," tegasnya.  

Asma' kesal kerana isu itu dipanaskan semula dalam 10 hari terakhir Ramadan.

"Saya boleh terima apabila diri saya dikutuk, diejek, dihina, diperlekeh dan ditertawakan, apa yang saya lebih rasa kasihan adalah kepada mereka yang juga Muslim namun terjebak dengan mengeluarkan perkataan keji," katanya.  

Beliau turut mengingatkan umat Islam dengan sabda Nabi Muhammad SAW daripada hadis riwayat Abu Hurairah RA, "Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه’ 

Maksudnya: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta melakukannya, maka Allah tidak berhajat (menerima) orang itu meninggalkan makan dan minumnya (Puasa)’ (HR al-Bukhari)." 

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan