Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengingatkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa tiga kes yang dihadapi bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli telah ‘dipadamkan’ ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 1.0 dahulu.
Mohd. Puad berkata demikian ekoran kenyataan Wan Saiful yang mengulas nasihat beliau kepada Rafizi supaya tidak terlalu ghairah atau ‘terlebih membakar’ dalam berpolitik kerana ia boleh membawa padah.
“Wan Saiful Wan Jan mengulas nasihat saya kepada Rafizi. Nasihat saya ialah jangan terlebih membakar. Takut berakhir masuk penjara.
"Wan Saiful tambah, ‘Kes boleh dipadam’,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menurut Puad, Wan Saiful seolah-olah lupa bahawa semasa Bersatu bersekongkol dalam kerajaan PH 1.0, tiga kes membabitkan Rafizi yang didapati bersalah telah ‘dipadam’, malah hukuman penjara juga ditukar kepada bon berkelakuan baik.
“Wan Saiful lupa, semasa Bersatu bersekongkol dalam PH 1.0, tiga kes Rafizi yang didapati bersalah telah dipadam.
"Hatta hukuman juga boleh diubah daripada penjara kepada berkelakuan baik. Sebab itu Rafizi boleh bertanding PRU ke-15,” katanya.
Beliau menambah, sewaktu tempoh persekongkolan tersebut, ramai pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdepan puluhan tuduhan di mahkamah.
“Bahkan Najib ada kes SRC 1 dan 2. Enam tahun dituduh tanpa dibicara,” katanya.
Mohd. Puad turut membangkitkan kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa dirinya menjadi mangsa pertuduhan politik semasa era pemerintahan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jangan lupa, Syed Saddiq menuduh kes rasuahnya adalah kerana dia jadi mangsa pertuduhan politik oleh Muhyiddin.
"Ingat, semasa berkuasa, kes kamu boleh dicari, tetapi tidak dicari. Kamu cuma padam sahaja,” katanya.
0 Ulasan