Berikut adalah kenyataan media Presiden MCW, Jais Abdul Karim hari ini:
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius isu gangguan perkhidmatan Aerotrain KLIA yang berlaku hanya beberapa hari selepas sistem itu dilancarkan semula secara rasmi pada 1 Julai 2025.
Dengan jumlah pelaburan mencecah RM742 juta, termasuk RM456 juta untuk sistem Aerotrain baharu, gangguan akibat banjir di dalam terowong yang menyebabkan penumpang terkandas dan operasi terhenti selama hampir 90 minit, jelas menimbulkan persoalan tentang ketahanan sistem, kesediaan menghadapi cuaca ekstrem serta keberkesanan pelaksanaan projek.
MCW menyambut baik inisiatif menaik taraf KLIA ke arah masa depan yang lebih moden dan cekap. Namun, kami berpandangan bahawa setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan perlu memberi pulangan dalam bentuk kualiti perkhidmatan yang konsisten dan boleh dipercayai – bukan kegagalan awal yang menggugat keyakinan awam.
Sehubungan itu, MCW menggesa agar:
1. Kementerian Pengangkutan dan pihak MAHB tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung punca gangguan, langkah pemulihan segera dan tindakan jangka panjang untuk mencegah kejadian berulang.
2. Audit pasca-pelaksanaan secara bebas dan telus dilakukan terhadap sistem Aerotrain dan keseluruhan perancangan saliran KLIA.
3. Semua aspek kontraktor, pembekal dan pemantauan projek perlu dinilai semula, dengan penekanan terhadap ketelusan, kecekapan dan nilai untuk wang rakyat.
4. SPRM perlu diberi ruang untuk meneliti semula proses perolehan dan pelaksanaan projek sekiranya terdapat sebarang elemen keraguan yang melibatkan ketirisan atau kecuaian.
MCW percaya bahawa ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek infrastruktur awam adalah asas kepada keyakinan rakyat dan pelabur terhadap pentadbiran negara. Lebih-lebih lagi apabila Malaysia bersiap sedia menerima kunjungan pelancong sempena Visit Malaysia 2026.
MCW akan terus memainkan peranan sebagai pemantau bebas demi memastikan integriti dan kebertanggungjawaban sentiasa menjadi keutamaan dalam semua projek berskala besar negara.
0 Ulasan