Gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam berpunca daripada kegagalan sistem pam saliran dalam terowong sehingga menyebabkan air hujan bertakung dan sistem keselamatan tren diaktifkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, gangguan itu bukan berpunca daripada kelemahan sistem Aerotrain yang baharu seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Saya ingin menjelaskan bahawa insiden ini bukan disebabkan kelemahan dalam sistem Aerotrain yang baharu, atau kerana tren ‘tidak tahan hujan lebat’ seperti yang dispekulasikan.
“Gangguan pagi semalam berpunca daripada kerosakan teknikal pada salah satu pam saliran dalam infrastruktur terowong sedia ada di KLIA.
"Pam-pam ini adalah sebahagian daripada kemudahan lama di lapangan terbang berkenaan, bukan daripada program penggantian Aerotrain yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Anthony menjelaskan, apabila pam gagal berfungsi seperti yang sepatutnya, air hujan bertakung di dalam terowong dan mencecah paras keselamatan, sekali gus mengaktifkan sistem keselamatan tren secara automatik sebagai langkah berjaga-jaga.
“Beginilah sepatutnya sistem rel moden berfungsi, keselamatan penumpang diberi keutamaan tertinggi.
"Selepas air dikeluarkan dan pemeriksaan keselamatan selesai, perkhidmatan disambung semula pada pukul 12.15 tengah hari semalam,” ujarnya.
Dalam insiden berasingan pada 2 Julai lalu, perkhidmatan Aerotrain turut tergendala kerana seorang penumpang menghalang pintu platform daripada ditutup.
“Sistem keselamatan Aerotrain diaktifkan bagi mengelakkan pintu ditutup secara paksa yang boleh membahayakan individu terlibat.
"Respon keselamatan ini adalah disengajakan dan wajar,” katanya.
Menurut Anthony, walaupun kedua-dua insiden tersebut menimbulkan ketidakselesaan kepada penumpang, ia menunjukkan tahap kecekapan sistem keselamatan tren yang mampu mengesan potensi bahaya dan menghentikan operasi bagi mengelakkan risiko.
“Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa aset Aerotrain baharu di KLIA dibina mengikut piawaian antarabangsa dan beroperasi dengan baik.
"Malaysia Airports dan kementerian saya komited untuk terus menambah baik perkhidmatan serta menyelesaikan sebarang isu dengan segera demi menyediakan perjalanan yang selamat dan lancar kepada semua,” jelasnya.
Anthony turut menghargai kesabaran orang ramai dalam tempoh awal pelaksanaan perkhidmatan Aerotrain baharu itu.
0 Ulasan