Berikut adalah kenyataan media Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad semalam:
Saya ingin merujuk kepada isu pelantikan Encik Adzwan Abdul Manas sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) bagi Hospital Rembau, Negeri Sembilan yang tular baru-baru ini.
Sebanyak 2,860 pencalonan telah diterima KKM daripada pelbagai pihak termasuk hospital, Exco Kesihatan Negeri serta pemimpin masyarakat untuk 143 hospital di seluruh negara.
Setiap pencalonan yang diangkat kepada saya telah melalui proses tapisan dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian dan perakuan atau syor daripada wakil-wakil negeri masing-masing.
Namun dalam hal ini, wujud khilaf dalam proses tapisan tersebut di mana latar kerjaya calon yang dilantik mempunyai elemen Conflict of Interest dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan KKM.
Untuk makluman, individu tersebut tidak lagi berkhidmat sebagai ALPH Rembau.
Saya akui kelemahan tersebut telah memberi impak yang besar ke atas persepsi umum terhadap KKM dan memberi jaminan bahawa proses pelantikan ALPH di seluruh negara akan disemak semula dan diperkemas dari aspek kriteria kelayakan serta sumbangan kepada masyarakat setempat yang selari dengan dasar kesihatan awam negara.
Saya bersama KKM komited untuk terus memperkukuh integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara, termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip.

0 Ulasan