Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) menafikan laporan media bahawa anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Politik di syarikat berkenaan.
Sidec dalam kenyataan media hari ini berkata, laporan media tersebut adalah tidak tepat dan mengandungi beberapa kekeliruan yang perlu diperbetulkan berhubung pengumuman pelantikan Nurul Izzah yang dibuat sempena Majlis Gala Ulang Tahun Ke-10 Sidec semalam.
“Nurul Izzah telah dilantik sebagai salah seorang daripada tiga Penasihat kepada Sidec Sdn. Bhd.
"Pelantikan beliau adalah sebagai penasihat dan tertumpu kepada sokongan pembangunan bakat, pengambilan industri serta memperkukuh komunikasi strategik antara kerajaan negeri, agensi persekutuan dan ekosistem digital, seperti yang dijelaskan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa majlis berkenaan,” katanya.
Sidec turut menjelaskan, laporan berkenaan secara tidak tepat menggambarkan Nurul Izzah sebagai memegang jawatan politik atau eksekutif dalam Sidec dan merujuk beliau sebagai Pengerusi Eksekutif Politik.
“Perkara ini adalah tidak benar. Beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi atau politik dalam Sidec mahupun Kerajaan Negeri Selangor,” ujarnya.
Sidec menambah, laporan tersebut juga mengelirukan apabila mengaitkan peranan semasa Nurul Izzah sebagai Pengerusi Eksekutif Politi iaitu badan pemikir dasar awam dengan peranan dalam Sidec.
“Kedua-dua entiti ini adalah berbeza dan tidak mempunyai sebarang kaitan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Sidec meminta pihak media yang menyiarkan laporan tersebut segera menarik balik atau memperbetulkan artikel berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham dalam kalangan orang awam.
“Sidec juga menyeru semua pihak media untuk merujuk siaran media rasmi kami atau menghubungi Bahagian Komunikasi Korporat kami bagi mendapatkan pengesahan sebelum menerbitkan sebarang laporan,” kata kenyataan itu lagi.

0 Ulasan