Masa zaman Najib rakyat tak susah macam sekarang

 


Pabila direnung kembali, terasa masa zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak jauh lebih baik daripada apa yang kita harungi hari ini. 

Kini, ramai rakyat mengakui bahawa kehidupan mereka tidak serba terhimpit seperti sekarang. Dasar-dasar kerajaan pada zaman Najib benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat.

Walaupun menjadi modal ejekan pembangkang ketika itu, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)  merupakan talian hayat bagi ramai golongan berpendapatan rendah. 

Setiap kali tiba tahun baharu, hari raya atau musim persekolahan, bantuan itu datang tepat pada waktunya. Ramai ibu bapa yang mampu menarik nafas lega. 

Wang itu digunakan untuk beli baju sekolah anak-anak, bayar yuran atau barang dapur. 

Zaman Najib juga menyaksikan harga petrol yang lebih terkawal. Subsidi bahan api diberi dengan rasa tanggungjawab kepada rakyat. 

Setiap kali harga minyak di pasaran dunia naik, kerajaan ambil langkah melindungi rakyat terutamanya golongan marhaen. 

Berbeza dengan sekarang, di mana harga barang naik tak henti-henti, namun tiada usaha yang benar-benar tuntas untuk meringankan beban rakyat yang terkesan.

Program seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia diwujudkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan dan barangan asas pada harga rendah. 

Hari ini, semua itu seolah-olah hilang dari pandangan mata. Rakyat hanya mampu pasrah menyaksikan harga barang naik melambung, sementara pendapatan kekal di takuk lama.

Lebih penting, situasi ekonomi ketika itu lebih stabil. Peluang pekerjaan ada, pelabur asing masih yakin, dan ringgit tidak terlalu lemah. 

Pelbagai projek pembangunan dilaksanakan seperti MRT, Lebuh Raya Pan Borneo, Bandar Malaysia, yang bukan sekadar memajukan negara, malah membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi setempat.

Kini, rakyat hidup dalam ketidaktentuan. Kos sara hidup semakin meningkat. Anak muda pula sukar mendapat kerja tetap. Ramai terpaksa menjadi pekerja gig untuk menampung perbelanjaan seharian. 

Impian memiliki rumah sendiri semakin jauh, kerana tidak mampu untuk membelinya dengan gaji yang diperoleh. Yang tinggal hanyalah retorik demi retorik, tanpa penyelesaian yang konkrit.

Benar, zaman Najib juga ada kelemahan tersendiri. Tetapi bagi rakyat marhaen, soal utama adalah kemampuan meneruskan hidup. 

Pada masa itu, masih ramai yang mampu hidup dengan lebih tenang tanpa berhempas-pulas melakukan dua tiga kerja semata-mata untuk memastikan dapur terus berasap.

Sungguh, rakyat kini merindui zaman itu. Kenangan indah hidup pada zaman Najib bukan sekadar nostalgia kosong, tetapi peringatan bahawa rakyat pernah hidup dalam keadaan yang lebih baik.

Kini, mereka bertanya, apakah dapat diulangi lagi detik-detik indah itu? Jawapan itu sebenarnya terpulang kepada diri mereka sendiri.

BACA LAGI  




Catat Ulasan

0 Ulasan