Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada Datuk Seri Rafizi Ramli akan kembali menyambung tugasnya sebagai penghasut selepas meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
Menurut beliau, Rafizi sendiri pernah mengaku kerjanya adalah menghasut, dan ini jelas bertentangan dengan prinsip integriti.
"Kerja penghasut mestilah berbohong. Dia banyak berjanji. Hapus tol dan turun harga kereta. Apakah tertunai?
"Dia diberi amanah jawatan menteri. Kenapa letak jawatan. Tidakkah itu mengkhianati aku janji pada rakyat?” soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd. Puad turut bertanya sama ada wajar seseorang yang sudah hampir mencecah usia 50 tahun untuk terus menyambung kerja sebagai penghasut.
“Sejak muda masuk politik dia berjanji dan jadi penghasut. Patutkah apabila umur hampir mencecah 50 sambung balik kerja penghasut dan janji palsu?” katanya.
Beliau menambah, komen panjang lebar Rafizi terhadap nasihat agar tidak “terlebih membakar” menunjukkan keyakinan beliau kononnya bersih daripada sebarang salah laku.
“Rafizi yakin dia bersih. Itu cakap dia. Semua boleh dicari. Bukan sahaja rasuah tetapi cukai pendapatan dan isu-isu peribadi. Dia pelik mahkamah beri DNAA kepada Najib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Puad turut mengingatkan bahawa Rafizi sendiri pernah terlibat dalam beberapa kes mahkamah sebelum ini yang kemudian digugurkan ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa.
“Rafizi lupa kes dia fitnah Tabung Haji ada prima facie. Dalam kes BAFIA dia dihukum penjara 30 bulan. Tetapi kedua-dua kes itu digugurkan bila PH berkuasa.
"Dalam kes OSA, hukuman penjara 18 bulan tukar kepada bon berkelakuan baik. Tetapi dia tetap bersalah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau juga mengingatkan mengenai siasatan ke atas syarikat Invoke milik Rafizi yang pernah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Rafizi juga lupa Invoke miliknya telah disiasat oleh SPRM sebelum PRU15. Dia ugut, kalau PH menang dia akan kejar Azam Baki. Sudah kejar ke belum? Takut dia yang kena kejar,” katanya.
Mengulas sindiran Rafizi yang menyuruh beliau memikirkan pahala dan dosa kerana berumur 20 tahun lebih tua, Mohd. Puad membalas dengan memetik satu hadis berkaitan ciri-ciri orang munafik.
“Saya kongsikan satu hadis ciri-ciri orang munafik. ‘Bila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia tidak tunaikan dan bila diberi amanah dia khianati’,” katanya.

0 Ulasan