Berikut adalah kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini:
JANGAN TERLEBIH BAKAR, TAKUT BERAKHIR DALAM PENJARA
Itu kata Dato’ Puad Zarkashi.
Bertahun-tahun dia cuit saya tapi saya tidak pernah balas. Sebahagiannya kerana saya menghormati tata cara bila duduk bersama dalam kerajaan, sebagai pimpinan kanan KEADILAN, saya tidak wajar menghentam secara terbuka seorang wakil rakyat dari UMNO.
Sepatutnya, orang berbudi kita berbahasa. Tapi tidak begitulah, sebab manusia ni ada macam-macam jenis.
Saya juga faham kalau Puad Zarkashi ini marah dekat saya sampai bila-bila. Dia dulu Ketua Pengarah JASA (sekarang ni dipanggil JKOM) yang diberi tanggungjawab mempertahankan Dato’ Seri Najib sebelum PRU 2018.
Memang letihlah nak bersilat dengan isu-isu yang saya bawa ke arah PRU 2018.
Mungkin kerana dilihat tidak berapa berfungsi semasa menjadi KP JASA, dia digugurkan dari menjadi calon UMNO Parlimen Batu Pahat dalam PRU 2018. Kecoh sebentar dia nak bertanding bebas, dilaporkan sudah beli dua borang pun.
(Rujuk: [https://www.hmetro.com.my/.../puad-tak-hadir-penamaan-calon](https://www.hmetro.com.my/.../puad-tak-hadir-penamaan-calon))
Nasib baik, KEADILAN/PH masuk PRN Johor 2022 dalam keadaan sendu. Menanglah kerusi Rengit. Berpuluh tahun penyertaan Puad Zarkashi dalam politik dan UMNO sejak 1990an, menang sekali di Parlimen dan menang sekali di DUN.
Jadi bila Puad Zarkashi bagi nasihat, konon takut saya masuk penjara, saya buat dengar tak dengarlah. Saya anggap ini nasihat mencuri perhatian, supaya media memetik namanya menjadi berita. Kalau nak harap usaha politiknya yang lain, mungkin susah nak masuk berita.
Kalau saya takutkan ada kes, saya tidak meletakkan jawatan. Saya akur kepada apa saja yang dikehendaki. Suruh saya diam, saya diam. Suruh saya melompat, saya melompat.
Sepanjang saya menjadi menteri, saya tidak pernah memanggil KSU atau pegawai untuk apa-apa yang bersabit perolehan. Bidang yang memang kuasa saya (contohnya meluluskan perolehan hartanah Bumiputra melebihi nilai RM20 juta), itu pun saya buat satu jawatankuasa agar ia diputuskan oleh JK, bukannya saya sendiri.
Insya-Allah, saya tidak pernah diugut, dipanggil atau dilaporkan ada kes.
Pasal ke penjara, saya pun pernah melalui zaman itu.
Masa Puad Zarkashi jadi KP JASA, kerajaan itulah dan pimpinan parti dialah yang mengheret saya ke mahkamah sehingga 14 kes, termasuk dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun.
Masa itu pun saya redha semuanya dan saya serahkan kepada ketentuan Allah.
Nasihat saya kepada Puad Zarkashi, jangan bimbangkan pengakhiran politik saya.
Lebih baik fikirkan amalan dan dosa pahala masing-masing, lebih-lebih lagi kalau umur itu 20 tahun lebih tua dari saya.
0 Ulasan