Berikut adalah kenyataan media Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah hari ini:
Saya kesal dengan komen Perdana Menteri (PMX) berhubung kesan kenaikan tarif elektrik dan peluasan SST terhadap mahasiswa, iaitu seperti yang diluahkan oleh sekumpulan mahasiswa baru-baru ini.
Komen PMX seolah-olah memperkecilkan kebimbangan sebenar rakyat dan mahasiswa.
Isunya bukan soal sama ada mahasiswa perlu membayar bil elektrik atau sama ada universiti awam (IPTA) akan dikenakan tarif baharu. Isu pokok yang jauh lebih besar ialah kesan menyeluruh terhadap kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat – termasuk mahasiswa – sebelum pun tarif elektrik dan cukai SST dinaikkan. Apatah lagi selepas pelaksanaan ini, keadaan dijangka menjadi lebih membebankan.
Kita perlu melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan rantaian (supply chain) kepada banyak sektor. Harga makanan dan barangan asas di kampus-kampus dijangka meningkat apabila kos operasi pembekal turut meningkat. Mahasiswa adalah antara golongan yang paling terkesan kerana mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada pinjaman atau bantuan.
Perlu diingat juga, ramai mahasiswa kini tidak lagi menetap di kolej-kolej kediaman dalam kampus. Mereka tinggal di luar dan perlu menanggung kos sewa, pengangkutan dan utiliti secara langsung. Maka, implikasi kenaikan-kenaikan ini terhadap mereka amat nyata dan tidak wajar disangkal.
Saya menyeru agar kerajaan mengambil serius bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat, khususnya mahasiswa, dan tidak memperlekehkan suara serta kebimbangan mereka.
Berempatilah terhadap mahasiwa.
0 Ulasan