Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau tidak akan mengemukakan sebarang rayuan berhubung penggantungan keahliannya dalam UMNO kerana yakin dirinya tidak diadili dengan sewajarnya.
Menurut beliau, walaupun ada yang menyifatkan tindakannya sebagai terhegeh-hegeh atau kurang bijak kerana enggan merayu, namun prinsip dan maruah jauh lebih penting daripada jawatan atau keahlian dalam parti.
“Penting untuk saya nyatakan di sini, ini bukan soal keahlian, bukan soal kedudukan dan bukan soal jawatan. Ini soal prinsip, integriti, keikhlasan dan keadilan yang selama ini saya pegang dalam UMNO,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik melalui media sosial hari ini.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu berkata, ramai menyangka mudah untuk beliau kembali dengan sekadar menulis surat rayuan, tetapi beliau tidak sanggup menggadaikan prinsip hanya kerana mahu dikembalikan ke dalam parti.
Mengulas penggantungan keahliannya pada Januari 2023, Hishammuddin mendakwa tidak pernah menerima penjelasan atau butiran lengkap mengenai tindakan disiplin terhadapnya.
“Dua tahun lalu saya digantung melalui hanya laporan media pada malam 27 Januari 2023, tiga hari selepas itu sahaja baru saya dapat surat rasmi yang menyatakan saya digantung atas alasan melanggar fasa-fasa dalam Perlembagaan UMNO.
“Saya tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau membela diri, saya tidak dibicarakan di hadapan Jawatankuasa Disiplin,” katanya.
Jelas beliau, perjuangannya bukan sekadar untuk kembali menjadi ahli UMNO tetapi berpegang kepada nilai dan prinsip yang menjadi asas penglibatannya dalam parti sejak dahulu lagi.
Katanya lagi, prinsip tersebut bukan sekadar miliknya tetapi turut didokong oleh barisan kepimpinan UMNO terdahulu yang disifatkan tegas dan sukar berkompromi.
Beliau turut mempersoal kewajaran prosedur yang digunakan ke atasnya ketika penggantungan, yang didakwa tidak mengikut saluran yang betul.
“Namun apabila terdapat permintaan untuk saya diterima semula, saya pula yang perlu ikut prosedur,” katanya.
Mengulas lanjut, Hishammuddin menjelaskan usul untuk menarik balik penggantungannya bukanlah datang daripada dirinya, tetapi dibawa sendiri oleh UMNO Bahagian Sembrong.
“Ia datang daripada UMNO Bahagian Sembrong sendiri, maka adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk memberi jawapan dan penjelasan kepada mereka, bukan kepada saya.
“Walaupun keputusan begitu, ia sikit pun tidak menjejaskan kedudukan saya. Saya tahu di mana saya berdiri dan rakyat Sembrong juga tahu siapa saya,” katanya.
Mengulas keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi, beliau menyifatkan keputusan itu mencerminkan siapa sebenarnya MKT UMNO, dan bukannya dirinya atau Bahagian Sembrong.
“Mereka telah membuat keputusan dan sekarang saya teruskan langkah ke hadapan dengan bermaruah dan berprinsip.
“Inilah perjuangan nilai dan makna, rayuan bukan penentu kesetiaan saya, prinsip di dalam parti yang menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti,” katanya lagi.
Semalam, MKT UMNO memaklumkan pihaknya bersedia mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh ahli yang dikenakan tindakan disiplin selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 20.12.
Perkara itu dibincangkan susulan UMNO Bahagian Sembrong buat kali kedua tahun ini membawa usul supaya penggantungan terhadap Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.
0 Ulasan