Ketibaan Dr Mahathir Mohamad di lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya disambut meriah oleh orang ramai. |
Amat sukar untuk saya mempercayai bahawa Kerajaan Madani tidak mengundang Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu ke upacara sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-67 di Putrajaya.
Seorang tokoh negarawan terulung negara yang mula berkecimpung dalam arena politik negara sejak tahun 1946 sehingga kini yang tidak pernah mana-mana pemimpin-pemimpin kerajaan masakini melaui fasa pengalaman tersebut tidak dijemput sebagai tetamu kerajaan pada acara yang historik ini.
Amat tidak masuk akal seorang tokoh negarawan yang masih disanjungi dunia yang begitu banyak jasanya pada bangsa, negara dan tanahair dipinggirkan dari acara yang amat bermakna pada keseluruhan rakyat Malaysia.
Musuh-musuh politik Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menafikan kecemerlangan kepimpinan beliau selaku Perdana Menteri Malaysia dua kali selama dua puluh dua tahun dua puluh dua bulan namun mereka akan gagal untuk memadamkan fakta sejarah tersebut.
Seluruh dunia memperakui kecemerlangan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga menggelarkan Malaysia sebagai sebuah kuasa 'Harimau Asia' pada suatu masa dahulu yang 'duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi' dengan negara-negara maju ketika beliau memimpin negara sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke empat khususnya.
Atas dasar ini juga, negara-negara luar masih mengundang Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkongsi pengalamannya di pentas-pentas antarabangsa sampai sekarang.
Inilah pengiktirafan dunia pada Tun Dr Mahathir dari dulu sehingga kini.
Disebabkan oleh kecemerlangan Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin negara ketika menjawat jawatan Perdana Menteri ke empat khasnya maka pada tahun 2018 sekali lagi rakyat Malaysia memperakui mutu kepimpinan beliau dengan memberi mandat untuk tokoh negarawan ini menggalas jawatan Perdana Menteri buat kali kedua sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.
Sesungguhnya, saya tidak perlu memperinci jasa Tun Dr Mahathir Mohamad membangunkan negara Malaysia tetapi hakikatnya terlalu besar pengorbanannya itu.
Tun Dr Mahathir Mohamad telah membina satu tamadun baru dengan membina Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dikagumi oleh dunia dan pada hari ini sambutan kemerdekaan negara ke 67 berlaku juga di Putrajaya tetapi tokoh yang membangunkan Putrajaya dipinggirkan tanpa dijemput menghadiri acara yang historik ini.
Takkan Perdana Menteri Malaysia pada hari ini dan sebahagian pemimpin-pemimpin kerajaan Madani yang pernah berada di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selama dua puluh dua bulan dahulu tidak boleh sedikit pun mengenang jasa sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dijemput menghadiri acara sambutan negara mencapai kemerdekaan.
Apakah kerajaan Madani cuba mendidik rakyat Malaysia untuk lupakan jasa seseorang tokoh pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka?
Kerajaan Madani nampak seolah-olah mendidik rakyat Malaysia untuk lupuskan nilai-nilai kenang budi walaupun pada tokoh-tokoh yang banyak berjasa pada negara kita.
Sepatutnya, apa saja perbezaan pendapat dalam politik tidak harus jadikannya sebagai garisan pemisah di antara anggota kerajaan dengan tokoh pemimpin terdahulu.
Dalam isu ini saya pasti keseluruhan rakyat Malaysia dapat menilai sendiri kononnya semangat 'reforms' sepertimana yang diuar-uarkan oleh PMX ketika beliau berada di luar kerajaan dahulu.
Anwar Ibrahim dulu bercakap lain tetapi sejak jadi PMX beliau lakukan pelbagai polisi 'undur belakang' yang sama sekali bercanggah dengan retorik politiknya.
Inilah yang dimaksudkan bahawa Allah SWT tidak pernah mungkir janji kerana Tuhan ingin menunjukkan kepada keseluruhan hamba-Nya akan siapa itu Anwar Ibrahim yang sebenar-benarnya.
Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di upacara menyambut hari kemerdekaan negara sebagai rakyat Malaysia tanpa undangan dari kerajaan Madani membuktikan semangat patriotisma beliau amat tinggi.
Keberadaan Tun Dr Mahathir Mohamad di celah ribuan rakyat Malaysia yang hadir pada upacara ini merupakan satu kemenangan buat tokoh pemimpin negara yang berusia 99 tahun ini.
Yang tewas dan kalah dalam isu ini adalah kerajaan Madani yang nampak secara jelas mereka tidak profesional langsung.
Rakyat Malaysia bijak menilai hati budi PMX serta anggota-anggota kerajaan Madani.
Apa yang berlaku pada hari ini suatu perkara yang amat memalukan seterusnya membuktikan kerajaan Madani tidak mempunyai nilai-nilai untuk mengenang budi.
Dunia luar juga pasti tersenyum sinis melihat perilaku PMX serta konco-konconya yang bersikap kebudak-budakan.
Inilah juga 'reform haprak' yang sedang ditonjolkan oleh PMX dan kerajaan Madani yang sedang merosakkan negara kita dalam pelbagai segi.
Jutaan tahniah pada PMX serta kerajaan Madani yang sentiasa 'cakap tak serupa bikin.'
Semangat patriotisme yang dipamerkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir sebagai rakyat Malaysia tanpa undangan juga membuktikan satu contoh teladan terbaik atas semangat cintakan bangsa serta negara yang amat kental.
Insiden ini amat memalukan saya sebagai rakyat Malaysia yang cintakan bangsa mahupun negara kita.
PMX dan kerajaan Madani amat tidak matang.
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional
0 Ulasan