Berikut adalah kenyataan media, Ketua Pemuda UMNO Kota Melaka, Mohd. Asyraf Zainal hari ini:
Pemuda UMNO Kota Melaka mengikuti rapat perkembangan hasil mesyuarat DAPSY pada Sabtu yang lalu.
Sebagai Ketua Pemuda UMNO Kota Melaka, saya telah menghubungi Ketua DAPSY Bandar Melaka, Saudara Zhi Peng, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan media yang dikeluarkan oleh beliau.
Hasil perbualan kami mengesahkan beberapa perkara berikut:
1. Kenyataan media tersebut dibuat berdasarkan keputusan mesyuarat DAPSY yang membawa suara akar umbi mereka berhubung hasrat untuk bertanding di semua DUN dalam negeri Melaka.
2. Mereka mendakwa hujah tersebut berpaksikan data keputusan PRU yang lepas.
3. Kenyataan itu telah mendapat kebenaran untuk dikeluarkan secara rasmi sebagai suara dari akar umbi mereka.
Pemuda UMNO Kota Melaka menyedari bahawa kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bersifat strategik – bukannya satu perkahwinan politik seperti yang pernah terjadi antara BN dan PAS menerusi Muafakat Nasional.
Namun begitu, saya secara peribadi mengecam sekeras-kerasnya tindakan DAPSY yang saya anggap sebagai tidak matang dan tidak bertanggungjawab.
Antara perkara yang kami lihat amat mengecewakan:
• Meskipun membawa suara akar umbi, sepatutnya ia dibincangkan terlebih dahulu dalam Sekretariat Kerajaan Perpaduan. Mengapa perlu dibawa ke media dan dihebohkan ke seluruh negara? Di manakah kematangan politik yang seharusnya ditunjukkan?
• Kerajaan Perpaduan dibentuk atas dasar kestabilan. Adakah kenyataan sebegini membantu mengukuhkan kestabilan politik negara? Atau sekadar mencetuskan ketegangan dalaman?
• DAPSY merujuk kepada data PRU lalu, tetapi sejarah politik membuktikan bahawa data dan sentimen rakyat boleh berubah drastik. BN menang besar di Melaka dan Johor, namun tumbang di PRU-15. Menggunakan data lama untuk menjustifikasi tuntutan semasa adalah satu pendekatan yang tidak realistik.
Tindakan seperti ini tidak menguntungkan mana-mana pihak dalam kerajaan perpaduan. Saya menghormati suara akar umbi DAPSY, namun DAPSY juga perlu belajar untuk menghormati suara akar umbi UMNO.
Jika budaya membuat kenyataan terbuka tanpa melalui saluran perbincangan rasmi ini berterusan, saya menyarankan agar YB-YB DAP yang memegang jawatan dalam Kerajaan Negeri Melaka agar melepaskan jawatan tersebut secara terhormat demi menjaga maruah politik masing-masing.
Saya percaya tindakan tegas dan berprinsip akan lebih dihormati oleh akar umbi, seperti yang ditunjukkan oleh YB Rafizi dalam banyak isu.
Pemuda UMNO Kota Melaka bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bertanding secara solo. Kami tidak gentar.
Kalah dan menang adalah adat dalam pertandingan. Tetapi jika mahu kembali bergabung, luka lama pasti akan berdarah kembali. Memaafkan mungkin boleh, tetapi melupakan bukan satu pilihan.
Jika mahu berkawan, bersikaplah seperti sahabat. Tetapi jika memilih untuk bermusuh, kami sedia menyahut cabaran.
Pilihan di tangan anda DAPSY!
0 Ulasan