Rafizi tak nampak ruang kembali jadi pemimpin PKR


 

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak melihat sebarang ruang untuk kembali menyertai barisan kepimpinan parti itu pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, tanggungjawabnya kini tertumpu kepada rakyat sebagai pengundi serta kepada pimpinan PKR yang masih berpegang kepada prinsip politik bersih dan bebas daripada rasuah, bukan politik feudal yang berpaksikan individu.

“Insya-Allah, saya akan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

" Yang selebihnya, lebih baik PKR, Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan saya ambil jalan masing-masing yang berlainan,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam

Kenyataan Rafizi itu menjawab pandangan pemerhati politik, Liyana Marzuki yang menggambarkan seolah-olah beliau mempunyai cita-cita menjadi Perdana Menteri hingga dilihat menentang Anwar selaku Presiden PKR.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, pandangan tegasnya terhadap isu tadbir urus kerajaan terutamanya membabitkan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat kerana rasa tidak selesa terhadap beberapa tindakan pentadbiran.

Beliau berkata, kebimbangan itu turut berpunca daripada perkembangan yang menunjukkan PKR mula membina kelompok kroni baharu yang memperoleh kekayaan mendadak dan memiliki pengaruh besar dalam kerajaan tanpa sebarang pertanggungjawaban terhadap rakyat.

Jelasnya, keadaan itu tidak ubah seperti yang berlaku ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Suara-suara saya mengenai perkara-perkara ini yang tidak disenangi. Dari situ timbul tuduhan tidak pandai bekerja sepasukan atau ada ego dan macam-macam lain. 

"Dari pandangan mereka, kalau saya telan bulat-bulat semua ini dan mensucikan semua kerana kami satu parti, barulah saya tidak ada ego,” katanya.

Beliau turut mendakwa wujud usaha meracun pemikiran penyokong Pakatan Harapan (PH) dengan dakwaan kononnya beliau tidak menjaga akar umbi.

“Bila saya berpendirian kalau menjaga akar umbi itu maknanya menabur duit, lantaklah kamu nak kata apa dan saya tidak akan terjebak. 

"Kemudian ditukar kepada merajuk sebagai alasan untuk Izzah (Nurul Izzah Anwar) mencabar saya.

“Apabila saya letak jawatan dan dengan rela hati mengosongkan jawatan empuk kerajaan walaupun ditawarkan menjadi Timbalan Presiden (PKR) lantikan, versi itu mati di situ sahaja. 

"Sekarang ada versi baru, kononnya saya mencabar Perdana Menteri kerana tidak sabar dalam mengejar cita-cita politik,” katanya.

Rafizi turut menjelaskan bahawa beliau tidak mengenali Liyana dan tidak pernah berjumpa dengan pemerhati politik berkenaan, namun dimaklumkan individu itu lebih mengenali Nurul Izzah.

“Cuma saya harap PKR dan pimpinan baru yang ada ini cukup-cukuplah melatah dan meloncat setiap kali saya bagi pandangan. Keputusan itu telah dibuat oleh PKR, ramai pimpinan yang ada sekarang bersekongkol dengan keputusan itu.

“Apabila nasi sudah jadi bubur, adalah tidak matang untuk berharap saya akan telan bubur itu bulat-bulat seperti yang mereka kehendaki,” katanya.

BACA LAGI





Catat Ulasan

0 Ulasan