CUEPACS mengingatkan semua penjawat awam agar lebih berhemah dan berhati-hati dalam penggunaan media sosial, terutamanya ketika mengeluarkan pandangan atau komen yang boleh menjejaskan imej serta kredibiliti perkhidmatan awam.
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, penjawat awam merupakan tunggak utama penyampaian perkhidmatan kerajaan dan tanggungjawab tersebut hendaklah dizahirkan melalui sikap profesionalisme termasuk dalam ruang komunikasi digital.
"Sehubungan itu, segala bentuk kenyataan atau komen berbentuk penghinaan, serangan peribadi, provokasi serta fitnah terhadap mana-mana individu, organisasi kerajaan atau pemimpin, termasuk dalam kalangan rakan sejawatan, adalah bertentangan dengan prinsip Aku Janji serta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam.
"Tingkah laku sedemikian berpotensi mencemar reputasi perkhidmatan awam serta boleh dikenakan tindakan tatatertib," katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau menambah, CUEPACS menyeru semua penjawat awam untuk memanfaatkan media sosial secara beretika, memastikan setiap perkongsian adalah tepat, berfaedah dan tidak menimbulkan implikasi negatif kepada perkhidmatan.
"Maruah dan imej perkhidmatan awam adalah amanah yang perlu terus dipelihara oleh setiap anggota tanpa kompromi," jelasnya.

0 Ulasan