Exco Wanita UMNO, Dr. Masliha Harun mempersoalkan tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong Belanjawan 2026 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan 67 ahli Parlimen pembangkang menolak belanjawan tersebut menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat.
“Inilah level pembangkang di Dewan Rakyat, 67 orang yang tak sokong Belanjawan 2026, dan baki yang tak hadir tu, apa alasan kukuh bajet yang baik pun tak nak sokong.
"Jika dah tak sokong belanjawan kerajaan buat untuk rakyat yang dok minta macam-macam tu dah kenapa.
“Memang tak ‘sync’ sikap pembangkang ni, jadi mereka bukan bantah belanjawan sebab tak baik mereka pun tahu semua tu untuk rakyat, cuma mereka tu sengaja bersikap dengki dan nak menyusahkan rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam.
Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) turut menyeru rakyat supaya menilai kembali sikap pembangkang yang dilihat hanya tahu menentang tanpa mengemukakan penyelesaian membina.
“Rakyat yang sokong sangat pembangkang ni buka mata ke tak? Harap mereka sedar… puas betul kena setepek camtu kat muka.
"Bukan kita malas nak jawab tapi menyampah cakap panjang lebar tak guna sebab kita nak buat pun dia tak menyokong,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan terhadap Belanjawan 2026 penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat di semua lapisan masyarakat.

0 Ulasan