Permusuhan terhadap media bukan sahaja tidak produktif, malah mencalar imej kepimpinan dan menjejaskan kredibiliti politik, khususnya bagi individu yang memegang jawatan sebagai menteri.
Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia (PKMM), Nik Suryani Megat Deraman berkata, insiden membabitkan wartawan Utusan Malaysia semalam menunjukkan perlunya pemimpin menghormati peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.
"Media dan politik saling memerlukan, ia bukan sekadar saluran maklumat, tetapi rakan strategik untuk menyampaikan mesej kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Kelmarin, tular video yang disiarkan MalaysiaNow mengenai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempersoalkan tindakan seorang wartawan dari Utusan Malaysia yang bertanya mengapa nama 'I Lite U' digunakan untuk projek pencahayaan di Bukit Bintang sedangkan semuanya dalam bahasa Inggeris.
Kor Ming seolah-olah tidak berpuas hati dengan soalan tersebut dan meminta wartawan berkenaan tidak membesar-besarkan isu itu serta mengugut untuk menelefon editornya.
Nik Suryani berkata, wartawan berkenaan hanya menanyakan soalan berasas dan profesional berhubung penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan dalam satu acara rasmi, berdasarkan surat Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian P.O.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Semua Urusan Rasmi bertarikh 29 Oktober 2025 yang diluluskan pada 9 Ogos 2022 oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
“Setiap program, projek, atau aktiviti kerajaan hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, dari nama, tema, tajuk, latar belakang hingga isi kandungan.
"Wartawan hanya menjalankan tanggungjawab memastikan pemenuhan arahan rasmi kerajaan,” katanya.
Menurut Nik Suryani, tindakan menteri yang didakwa mengugut wartawan berhubung perkara itu jelas menakut-nakutkan media dan tidak sepatutnya berlaku dalam suasana Malaysia Madani.
“Tindakan menteri yang didakwa mengugut wartawan jelas menakut-nakutkan media.
"Permusuhan terhadap media bukan sahaja tidak produktif, malah menjejaskan kredibiliti dan imej politik,” tegasnya.
Beliau turut merujuk kepada laporan antarabangsa yang menunjukkan kemerosotan kebebasan media berkait rapat dengan kemerosotan institusi politik dan sosial.
“Laporan Global Press Freedom Suffers Sharpest Fall in 50 Years, A Landmark Report oleh International IDEA bertarikh 11 September 2025 menunjukkan kebebasan akhbar menurun di satu per empat daripada 173 buah negara, manakala laporan RSF World Press Freedom Index 2025: Economic Fragility a Leading Threat to Press Freedom mendapati lebih 160 daripada 180 buah negara menghadapi masalah kewangan media,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa menteri berkenaan wajar bertanggungjawab atas tindakannya mengugut wartawan serta gagal mematuhi pekeliling rasmi kerajaan.
“Menghormati wartawan dan organisasi media adalah tanda kepimpinan matang, bijaksana dan bertanggungjawab. Sebagai Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia (PKMM), saya menegaskan bahawa wartawan berhak menjalankan tugas secara profesional tanpa diugut.
"Pegawai kerajaan termasuk menteri dan timbalan perlu peka serta mematuhi arahan rasmi kerajaan. Permusuhan terhadap media adalah tidak produktif serta bertentangan dengan prinsip kepimpinan matang,” katanya.

0 Ulasan