Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong memandang serius tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang didakwa menghina dan mengugut wartawan Utusan Malaysia dalam satu acara rasmi selepas mengajukan soalan mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak wajar, malah tidak beradab dan bertentangan dengan semangat Kerajaan Madani yang menekankan keterbukaan dan kebertanggungjawaban.
"Sebagai seorang pemimpin, beliau sepatutnya menghormati peranan media sebagai rakan semak dan imbang dalam memastikan pentadbiran yang telus dan berintegriti.
"Wartawan menjalankan tanggungjawab profesional bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu berkepentingan awam, bukan untuk menyerang mana-mana pihak," katanya menerusi hantaran Facebook kelmarin.
Baru-baru ini, tular video yang disiarkan MalaysiaNow mengenai tindakan Kor Ming mempersoalkan tindakan seorang wartawan dari Utusan Malaysia yang bertanya mengapa nama 'I Lite U' digunakan untuk projek pencahayaan di Bukit Bintang sedangkan semuanya dalam bahasa Inggeris.
Kor Ming seolah-olah tidak berpuas hati dengan soalan tersebut dan meminta wartawan berkenaan tidak membesar-besarkan isu itu serta mengugut untuk menelefon editornya.
Choo Seong turut menyingkap kembali kepimpinan DAP sebelum berkuasa yang sering melaungkan slogan kebebasan media dan bersuara.
"Dahulu sebelum mendapat kuasa, kamu juga yang berguling-guling di atas jalan raya mendesak kerajaan mengamalkan kebebasan media dan kebebasan bersuara.
"Sekarang apabila sudah berkuasa, kamu mengamalkan dasar intimidasi dan menekan suara-suara yang mungkin tidak sealiran dengan anda," katanya.
Tambah beliau, pemimpin yang berjiwa besar sepatutnya menunjukkan ketenangan dan kebijaksanaan apabila berdepan dengan pertanyaan media, bukan melepaskan amarah dengan ugutan.
“Pemimpin yang berani tidak gentar pada soalan, kerana kebenaran tidak memerlukan ugutan untuk dipertahankan,” tegasnya lagi.

0 Ulasan