Kesatuan wartawan NUJM kecam menteri ugut wartawan

 

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menegaskan tindakan seorang menteri yang didakwa mengugut wartawan dengan cubaan memanggil editor Utusan Malaysia selepas sidang media baru-baru ini sebagai tidak wajar dan bersifat menekan kebebasan media.

Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Mohamed Yusof berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak beretika, malah dilihat sebagai cubaan menakut-nakutkan serta memberi tekanan kepada wartawan yang menjalankan tugas secara profesional.

“Menteri tidak wajar mengugut wartawan yang menjalankan tugas dengan tuduhan berunsur sentimen politik. 

"Sepertimana wartawan berpegang kepada etika, ahli politik juga harus sedar mereka juga wajib beretika,” katanya dalam kenyataan media kelmarin.

Baru-baru ini, tular video yang disiarkan MalaysiaNow mengenai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempersoalkan tindakan seorang wartawan dari Utusan Malaysia yang bertanya mengapa nama 'I Lite U' digunakan untuk projek pencahayaan di Bukit Bintang sedangkan semuanya dalam bahasa Inggeris.

Kor Ming seolah-olah tidak berpuas hati dengan soalan tersebut dan meminta wartawan berkenaan tidak membesar-besarkan isu itu serta mengugut untuk menelefon editornya.

Teh Athira berkata, wartawan berkenaan hanya mengemukakan soalan mengenai penggunaan bahasa Melayu secara sopan dan teratur dalam sidang media rasmi tanpa sebarang provokasi.

“Soalan yang dibangkitkan juga adalah pertanyaan mudah yang boleh dijawab dengan mudah oleh pihak kerajaan, khususnya seorang menteri. 

"Justeru, tidak sepatutnya seorang menteri melayan wartawan dengan cara yang memperlekeh peranan media,” katanya.

Menurut Teh Athira, sebagai penjawat awam, seorang menteri seharusnya menghormati peranan media sebagai penyampai maklumat dan suara rakyat, bukannya memberi tekanan hanya kerana soalan yang dikemukakan tidak selesa untuk dijawab.

“Tindakan memanggil editor untuk ‘memberi penjelasan’ mengenai soalan wartawan di sidang media itu jelas menghantar mesej yang salah dan berbahaya, seolah-olah wartawan harus dihukum kerana melaksanakan tugas mereka dengan jujur dan bertanggungjawab. 

"NUJM melihat ini adalah satu bentuk intimidasi yang tidak boleh dan tidak seharusnya diterima sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, kebebasan media sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan Madani seiring dengan penubuhan Majlis Media Malaysia baru-baru ini.

“NUJM sekali lagi menegaskan bahawa setiap wartawan mempunyai tanggungjawab untuk bertanya, menyiasat dan melapor dengan berintegriti, bebas daripada campur tangan politik atau ancaman balas dendam. 

"Sebarang tindakan yang mengekang kebebasan media hanya akan merosakkan kredibiliti kerajaan serta menghakis kepercayaan awam,” ujarnya.

Teh Athira turut menggesa semua pihak, khususnya para menteri dan pemimpin politik, agar menghormati peranan media serta tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menekan wartawan atau organisasi media.

“NUJM akan terus mempertahankan kebebasan, maruah dan integriti wartawan di Malaysia,” katanya.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan