Keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk membatalkan sementara cadangan projek ladang ternakan babi seluas 500 ekar bukanlah penyelesaian sebenar, sebaliknya dilihat seolah-olah mempermainkan perasaan, sensitiviti dan kebimbangan rakyat Selangor.
Sekretariat Gerakan Tukar Madani berkata, isu itu bukan sekadar soal teknikal atau pentadbiran, tetapi melibatkan kesihatan awam, alam sekitar, kesejahteraan komuniti setempat serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Justeru, pendekatan 'batal sementara' hanya menimbulkan persepsi bahawa suara rakyat masih belum benar-benar didengari dan dihormati," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, rakyat Selangor berhak mendapatkan keputusan yang tuntas, telus dan berprinsip, bukannya langkah separuh masak yang membuka ruang projek ini dihidupkan semula pada bila-bila masa tanpa persetujuan jelas rakyat.
Gerakan TUKAR Madani Selangor menegaskan bahawa sebarang dasar atau projek berskala besar mestilah berpaksikan kepentingan rakyat, kelestarian alam dan nilai keharmonian sosial dan bukan hanya kepentingan segelintir pihak.
Katanya, dalam isu 500 ekar ladang babi di Bukit Tagar, keputusan batal sementara bukan jawapan yang rakyat mahu.
"Kerajaan Madani Selangor seharusnya menghormati suara rakyat dan bukan buat kenyataan liar membelakangkan kehendak rakyat Selangor yang sebenarnya.
"Kerajaan Madani Selangor jangan degil dan ego. Selangor perlu ditadbir dengan cekap dan amanah, sensitif rakyat dan berani membuat keputusan muktamad," katanya.

0 Ulasan