PN gesa tubuh JK khas siasat perjanjian mega RM1.1 bilion libat bekas menteri kanan

 

Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) merakamkan rasa terkejut dan bimbang susulan laporan media berkait siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas perjanjian mega antara kerajaan pusat dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai sebanyak RM1.1bilion.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, lebih serius, berdasarkan maklumat daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perjanjian ini juga melibatkan seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa.

Sehubungan itu, menurut beliau, ahli-ahli Parlimen PN menggesa kerajaan menubuhkan segera sebuah Jawatankuasa Khas Siasatan bertaraf Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai oleh seorang bekas hakim mahkamah atasan untuk menyiasat perkara ini.

"Langkah tegas dan segera amat perlu diambil jika kerajaan benar-benar serius dan komited dalam usaha memerangi rasuah dan salah laku hingga ke akar umbi.

"Kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berlindung di sebalik prosedur dan retorik semata-mata. Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan fakta sebenar," katanya dalam kenyataan media pada 19 Februari 2026.

Takyuddin berkata, angka RM1.1 bilion bukan kecil, selain merupakan dana awam dan melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap integriti sistem pentadbiran kerajaan.

Menurut beliau, kegagalan bertindak tegas dan telus hanya akan menguatkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan atau melindungi sesuatu atau seseorang.

"PN akan terus memantau perkara ini secara dekat bagi memastikan prinsip-prinsip ketelusan, akauntibiliti dan integriti ditegakkan tanpa kompromi," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan