Asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan - PMX

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya. 

Sehubungan itu, menurut beliau, semua pihak tidak boleh alpa atau terlalu selesa serta mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi.

"Dalam mengakui cabaran ini, saya ingin menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan. 

"Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan," katanya dalam hantaran Facebook pada 31 Mac 2026.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulas mengenai mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Pada masa yang sama, beliau mengajak seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik. 

"Utamakan barangan tempatan dan sokonglah usahawan kita, kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

"Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat. 

"Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan," katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan