Sekumpulan individu rancang ceroboh tanah Yayasan Kubra untuk upacara anutan - Peguam

 

Yayasan Kubra menerima makluman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa sekumpulan individu merancang untuk melakukan pencerobohan semula kononnya untuk melakukan upacara anutan di tapak tanah milik yayasan itu di Rawang.

Peguamnya, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, segala struktur rumah anutan haram atau kuil haram telah runtuh sepenuhnya pada 25 Februari 2026. 

Malah, menurut beliau, tiada sebarang berhala berada di tapak tanah Yayasan Kubra setelah pihak penceroboh kuil haram sendiri membawa keluar berhalanya.

"Cubaan tindakan penceroboh untuk membangkitkan kekecohan / rusuhan / kegemparan awam adalah kini terjumlah kepada kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

"Yayasan Kubra membuat laporan polis bagi mendapatkan kawalan keselamatan dan mengelakkan sebarang cubaan rusuhan jenayah daripada penceroboh tanah yang jelas tidak mahu menghormati Perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam," katanya dalam kenyataan media pada 2 April 2026.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Mac 2026 yang telah mengeluarkan perintah yang membatalkan Perintah Majistret berkenaan Aduan Pecah Keamanan yang difailkan oleh penceroboh.

Muhammad Hariz berkata, jika perintah mahkamah tinggi juga tidak dihormati, Yayasan Kubra memohon perhatian dan tindakan segera pihak berkuasa dan kerajaan untuk menangkap dan menghumban penjenayah penceroboh yang jelas dan nyata ingin berterusan menceroboh tanah milik yayasan.

"Sekarang kita lihat bagaimana naratif 3R yang ingin ditiupkan oleh pihak penceroboh kuil haram," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan