Alunan pemuzik muda

SEREMBAN 10 Nov. - Secara amnya pemuzik muda dewasa ini lebih cenderung mendengar atau mempersembahkan genre muzik moden seperti pop atau rock.

Sebaliknya, muzik orkestra yang lebih kompleks serta menuntut penghayatan dan kemahiran yang tinggi agak kurang diminati oleh golongan ini.

Bagi memupuk minat pelajar terhadap genre muzik tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 di sini telah mengambil inisiatif menubuhkan orkestra mini yang dianggotai 30 pemuzik muda.

Pengetuanya, Datin Maznah Yusof, berkata, orkestra mini itu ditubuhkan pada tahun lalu bagi memberi ruang kepada pelajar-pelajar yang mengikuti kelas pendidikan muzik mempraktikkan kemahiran dengan mengadakan persembahan di khalayak ramai.

Jelas beliau, kesemua pemuzik orkestra mini SMK Seremban 2 terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan Satu dan Dua.

``Peruntukkan membeli alat-alat muzik seperti saksofon, klarinet, flut, trompet dan trombon sebanyak RM40,000 disumbangkan oleh kerajaan negeri," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran orkestra mini SMK Seremban 2 di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, orkestra mini SMK Seremban 2 membuat persembahan sulung dengan menyampaikan lagu `Lenggang Kangkung', `Geylang Si Paku Geylang', `My Way' dan `You Reach Me Up.'

Maznah memberitahu, 30 pemuzik orkestra mini berkenaan merupakan kumpulan perintis dan pihak sekolah merancang untuk menambah lagi alat-alat muzik bagi menjadikannya satu orkestra yang lengkap.

``Beberapa peralatan muzik termasuk gitar bes, dram, marakas dan biola terpaksa dipinjam kerana tiada peruntukan untuk membelinya," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak sumbangan sama ada daripada individu atau syarikat swasta akan disalur kepada pihak sekolah bagi merealisasi matlamat tersebut.

Sementara itu, menurut guru muzik SMK Seremban 2, Lim Pei Ching, 40, pemuzik-pemuzik orkestra mini mengikuti latihan dua kali seminggu iaitu setiap Isnin (7.30 pagi hingga 8.30 pagi dan Rabu (7.30 pagi hingga 9 pagi).

Katanya, ibu bapa menyambut baik penubuhan orkestra mini berkenaan dan memberi galakan kepada anak-anak mereka menyertainya.

``Saya percaya pemuzik-pemuzik orkestra mini SMK Seremban 2 lebih berkeyakinan selepas membuat persembahan sulung mereka.

``Kami juga bersedia mengadakan persembahan di luar sekolah sekiranya menerima jemputan," jelas Pei Ching.

Selain Pei Ching, orkestra mini SMK Seremban 2 turut mendapat bimbingan guru muzik berpengalaman, Amirullah Ismail, 75, yang telah bergiat dalam bidang muzik sejak tahun 1957.

Amirullah yang memiliki kelulusan formal dari `Associated Board of the Royal Schools of Music' (ABRSM) berkata, kesemua 30 pemuzik muda orkestra mini itu memiliki latar belakang tentang teori muzik.

``Walaupun sebahagian besar daripada mereka mahir dari segi teori, pengalaman membuat persembahan secara berkumpulan di khalayak ramai masih kurang.

``Selain aspek persembahan, sesi latihan turut memberi penekanan terhadap kemahiran membaca nota muzik serta teknik," ujarnya yang juga bekas Pengarah Muzik Maktab Perguruan Raja Melewar di sini.

Menurut Amirullah, antara kategori muzik yang dimainkan semasa latihan adalah irama Malaysia, malar hijau serta irama klasik.

Katanya lagi, setiap pemuzik orkestra mini SMK Seremban2 perlu memiliki disiplin yang tinggi serta memberi tumpuan dan komitmen sepenuhnya semasa sesi latihan.

(Utusan Malaysia, 11 November 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan