Orkestra mini tingkatkan kemahiran muzik pelajar

SEREMBAN 10 Nov. _ Biarpun baru setahun ditubuhkan, pemuzik-pemuzik orkestra mini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 di sini kini semakin berkeyakinan untuk membuat persembahan di khalayak ramai.

Pemain klarinet, Jazlyn Anne Arrais, 14, berkata, latar belakang selama lapan tahun bermain piano serta setahun bermain saksofon soprano banyak membantu dari segi teknikal dan pembacaan nota muzik.

Jazlyn yang memiliki Diploma Persembahan dari sebuah sekolah muzik swasta serta meminati pemuzik klasikal Poland, Frederic Chopin, memberitahu, dia cuma mengambil masa lima bulan untuk menguasai kemahiran bermain klarinet.

``Saya juga turut membantu rakan-rakan lain yang kurang mahir membaca nota muzik," ujarnya ketika ditemui selepas membuat persembahan pada majlis pelancaran orkestra mini SMK Seremban 2 di sini baru-baru ini.

Pelajar Tingkatan Dua sekolah tersebut yang mewakili negeri dalam sukan badminton dan merentas desa berkata, dia tidak menghadapi masalah membahagikan masa untuk pelajaran, muzik serta sukan.

Bagaimanapun, kata Jazlyn, bidang muzik diceburinya hanya sebagai satu hobi dan dia menjadikan bidang guaman sebagai kerjaya pilihan bila dewasa kelak.

Menurut pemain biola, G. Methene, 13, keluarganya memberi sokongan penuh terhadap pembabitan dalam orkestra mini SMK Seremban 2.

Pelajar Tingkatan Satu yang meminati Miley Cyrus ini berkata, biola menjadi pilihan kerana kelembutan bunyi dan melodi yang dihasilkan setiap kali ia digesek.

``Saya tidak pernah bermain biola sebelum menyerta orkestra mini ini. Sesi latihan di sekolah di samping berlatih sendiri di rumah membantu meningkatkan teknik dan kemahiran menggesek biola," jelas Methene yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

Sementara itu, pemain gitar bes dan pelajar Tingkatan Dua, Calvin Cheng Kah Wei, 14, berkata, penglibatan sebagai pemuzik orkestra mini SMK Seremban 2 banyak membantu memperluas pengetahuan tentang pelbagai genre muzik.

``Sebelum ini, saya lebih cenderung kepada muzik rock klasik dan jazz. Kini, saya dapat mempelajari teknik muzik klasikal, pop dan irama Malaysia," ujarnya yang juga berhasrat menjadi seorang doktor.

(Utusan Malaysia, 11 November 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan