Hussaini Amran
Gambar: Mohd Shahjehan Maamin
SEREMBAN 21 Nov. - Memang mengasyikkan setiap kali melihat kapal terbang kawalan jauh berlegar-legar dan saling kejar-mengejar setiap petang di ruang udara berhampiran Taman Dusun Setia, Ampangan dekat sini.
Sekali pandang, pesawat-pesawat udara mini yang lengkap dengan `juruterbang' dan `pembantunya' itu kelihatan tak ubah seperti kapal terbang sebenar.
Malah, ada ketikanya `nahas udara' berlaku dan kapal-kapal terbang yang terbabit dalam pertembungan terhempas ke tanah diiringi oleh serpihan rangka badannya.
Menurut pemilik Rc Hobby Fly, Safri Semail, 36, `nahas udara' merupakan lumrah ketika bermain kapal terbang kawalan jauh terutamanya kepada mereka yang masih belum mahir.
Namun, katanya, perkara itu tidak menjadi halangan kepada seramai 50 peminat pesawat udara kawalan jauh di bandar ini meneruskan kegiatan mereka.
``Sekiranya cuaca mengizinkan, setiap hari kami datang berlatih di sini mulai pukul 5 hingga 7 petang. Selain itu, kami berada di sini setiap Ahad dari pukul 8 hingga 11 pagi," jelas Safri ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Safri yang mengusahakan perniagaan menjual pesawat udara kawalan jauh berkata, minat untuk berkecimpung dalam bidang ini mula timbul pada tahun 2001 setelah melihat ramai yang meminatinya.
Ujarnya, pada peringkat awal dia menceburi kegiatan berkenaan hanya sebagai satu hobi bagi mengisi masa lapang.
``Kemudian saya meninggalkan pekerjaan di sebuah syarikat insurans dan memulakan perniagaan menjual pesawat udara kawalan jauh di Melaka.
``Setelah mahir tentang selok-belok memasang, mengendali serta menyelenggara pesawat udara kawalan jauh, saya membuka kedai sendiri di sini pada awal tahun ini," kata Safri.
Dia menjelaskan, ramai yang lebih menggemari kapal terbang berbanding helikopter kerana harga dan kos penyelenggaraannya lebih rendah.
Menurut Safri, sebuah kapal terbang kawalan jauh boleh dibeli pada harga serendah RM1,800 manakala helikopter pula pada harga RM3,700.
Ujarnya, rangka badan kapal terbang dijual pada harga sekitar RM200 berbanding RM800 untuk helikopter.
``Saya pernah menjual helikopter kawalan jauh pada harga RM15,000. Semakin mahal harga sesebuah pesawat, semakin mudah kita mengendalikannya di udara," katanya.
Dia berkata, peminat pesawat udara kawalan jauh tidak kisah untuk mengeluarkan wang yang banyak asalkan mereka puas semasa mengendalikannya.
Jelas Safri lagi, pesawat udara kawalan jauh yang dijual syarikatnya menggunakan minyak dengan kepekatan nitro sebanyak lima peratus atau bateri lithium polimer.
``Saya serta rakan-rakan lain merancang untuk menubuhkan sebuah kelab khusus bagi peminat kegiatan ini dalam tempoh masa terdekat," ujarnya.
Kata Safri lagi, selain menjual pesawat udara kawalan jauh, dia turut mengajar cara-cara pengendalian secara percuma kepada pelanggannya.
Menurutnya, orang ramai yang berminat menceburi kegiatan ini boleh menghubunginya di talian 019-3976021 atau datang ke kedainya di Lot G-05 Seremban Plaza dekat sini.
(Utusan Malaysia, 22 November 2008, m/s 26)
0 Ulasan