Sanggup belanja besar kemudi pesawat

SEREMBAN 21 Nov. - Peminat-peminat pesawat udara kawalan jauh tidak keberatan berbelanja besar bagi memenuhi hobi mereka.

Menurut Shamsul Rosli, 40, kira-kira RM200,000 telah dibelanjakan bagi membeli serta menyelenggara empat buah jet kawalan jauh sejak menceburi kegiatan tersebut 10 tahun lalu.

Dia berkata, kos untuk jet kawalan jauh adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan kapal terbang atau helikopter.

``Kalau sudah minat, soal wang jadi perkara nombor dua," ujar Shamsul ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jelas Shamsul lagi, anak lelakinya, Shazrol, 15, turut mewarisi minat terhadap pesawat udara kawalan jauh.

Seorang lagi peminat pesawat udara kawalan jauh, Mohd Nizar Abd Jabbar, 38, berkata, dia lebih cenderung melibatkan diri dalam perlumbaan antara dua kapal terbang yang lebih dikenali sebagai `pylon'.

Mohd Nizar yang mula berjinak-jinak dalam kegiatan ini sejak enam tahun lalu memberitahu, `pylon' memang bersesuaian dengan jiwanya sebagai seorang pelumba.

``Saya pernah menyertai acara `pylon' bersempena Karnival Udara di Chembong Rembau pada Ogos lalu," ujarnya.

Dia turut berharap agensi-agensi kerajaan berkaitan memberi sokongan padu serta memajukan acara `pylon' yang berpotensi dijadikan sebagai satu produk pelancongan rekreasi di negeri ini.

Sementara itu, Mohd Arif Osman, 58, menyarankan agar kerajaan negeri menyediakan satu tapak khusus untuk peminat-peminat pesawat udara kawalan jauh menjalankan aktiviti mereka.

Katanya, pada masa ini mereka terpaksa `menumpang' di satu kawasan tanah lapang berhampiran Taman Dusun Setia, Ampangan di sini.

``Mujurlah pemaju projek perumahan membenarkan kami menggunakan kawasan tersebut selama dua tahun sebelum ia dimajukan.

``Kami bakal berdepan dengan masalah mencari tapak baru apabila projek perumahan berkenaan mula dijalankan kelak," ujar Mohd Arif.

Menurutnya lagi, ada di antara peminat pesawat udara kawalan jauh yang tidak keberatan membiayai pembinaan landasan sekiranya tapak kekal disediakan untuk aktiviti tersebut.

(Utusan Malaysia, 22 November 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan