WHO iktiraf PTGM Klinik Kesihatan Tampin
TAMPIN 19 Nov. - Program Terapi Gantian Methadon (PTGM) Klinik Kesihatan Tampin di sini menerima pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di atas peningkatan ketara bilangan peserta sejak ia ditubuhkan dua tahun lalu.
Pakar Perunding Program Pengurangan Kemudaratan WHO, Dr. Robert Power berkata, sehingga kini PTGM Klinik Kesihatan Tampin berjaya menarik penyertaan seramai 121 penagih dadah berbanding hanya 10 orang semasa program itu mula diperkenalkan pada November 2006.
Menurut beliau, PTGM Klinik Kesihatan Tampin turut menunjukkan prestasi membanggakan dalam mengekalkan 98 peratus peserta program berkenaan sepanjang dua tahun lalu.
``Saya telah membuat lawatan kerja ke PTGM di lebih 50 negara dan prestasi Klinik Kesihatan Tampin merupakan antara yang terbaik," ujarnya ketika ditemui selepas sesi taklimat Program Pengurangan Kemudaratan Klinik Kesihatan Tampin di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Omar Mihat; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Kementerian Kesihatan, Dr. Rushidi Ramly dan Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Tampin, Jaafar Mulup.
Taklimat disampaikan oleh Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tampin, Dr. Norsiah Ali.
Jelas Dr. Power lagi, beliau melihat kerjasama dari agensi-agensi kerajaan lain di daerah ini seperti Pejabat Daerah Tampin, Polis Diraja Malaysia, agensi-agensi pertanian, persatuan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan program tersebut memang sangat mengagumkan.
``WHO sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada Klinik Kesihatan Tampin bagi memastikan program ini berjaya mencapai matlamat mengurangkan kebergantungan peserta terhadap dadah," kata beliau.
Ujarnya lagi, sokongan setiap anggota masyarakat terutamanya ahli keluarga adalah sangat penting untuk menjayakan PTGM di daerah ini.
Dr. Power berkata, Klinik Kesihatan Tampin perlu berusaha mengikis tanggapan negatif orang ramai berhubung program tersebut serta memasukkan elemen keagamaan ketika memberi terapi.
Sementara itu, Dr. Omar memberitahu, sebuah lagi pusat PTGM telah dibuka di Gemas dekat sini pada 13 Oktober lalu.
Menurut beliau, sehingga kini seramai 25 penagih telah menyertai PTGM Gemas dan jumlah itu dijangka akan bertambah.
Selain itu, katanya, Klinik Kesihatan Tampin turut menganjurkan program pertukaran jarum suntikan serta pemberian kondom percuma
bagi mengurangkan penularan HIV dan AIDS di kalangan penagih dadah.
Ujar Dr. Omar, seramai 29 penagih dadah menyertai program berkenaan sejak 14 Julai lalu dan seramai 15 orang dari jumlah itu turut mengikuti PTGM serta menghentikan pengambilan dadah melalui suntikan.
(Utusan Malaysia, 22 November 2008)
0 Ulasan