Perancangan terperinci elak projek perumahan terbengkalai
SEREMBAN 23 Nov. - Pemaju perumahan di negeri ini diminta membuat perancangan terperinci bagi memastikan projek yang dilaksanakan tidak terbengkalai.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah berkenaan adalah perlu terutamanya dalam situasi kelembapan ekonomi global pada masa ini.
Menurut beliau, pemaju boleh membangunkan projek perumahan secara berperingkat serta mengkaji rekabentuk dan konsep yang dikehendaki pembeli.
``Ada pemaju terlalu ghairah ingin membina keseluruhan projek secara sekaligus. Namun, apabila rumah tidak dapat dijual, aliran tunai syarikat terjejas dan mengakibatkan projek terbengkalai," ujarnya.
Mohamad berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) 2008 di pusat membeli-belah Seremban Parade dekat sini semalam.
Ekspo yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 18 pemaju dengan menawarkan hartanah jenis rumah teres setingkat, dua tingkat, dua tingkat setengah, rumah berkembar setingkat dan dua tingkat, lot banglo, pangsapuri kos rendah, serta unit komersial dan industri.
Mohamad memberitahu, sehingga Oktober tahun ini terdapat 48 projek perumahan terbengkalai di seluruh negeri dan kebanyakannya berpunca daripada krisis kegawatan ekonomi pada tahun 1997.
Katanya, kerajaan negeri berusaha sedaya-upaya memulihkan projek perumahan terbengkalai dengan kerjasama Jabatan Perumahan Negara serta Syarikat Perumahan Negara Berhad.
``Bagaimanapun, kerajaan negeri sering dipersalahkan pembeli sekiranya projek perumahan yang terbengkalai tidak dapat dipulihkan," jelas beliau.
Menurut Mohamad lagi, orang ramai dinasihatkan supaya mengkaji latar belakang dan prestasi pemaju sebelum membeli rumah.
Ujar beliau, agensi-agensi kerajaan berkaitan juga sewajarnya mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan pemaju hingga menyebabkan projek perumahan gagal disiapkan.
(Utusan Malaysia, 24 November 2008)
0 Ulasan