Kaji batal permit pekerja asing

SEREMBAN 23 Nov. - Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung pembatalan permit pekerja asing yang belum datang ke Malaysia mengikut keperluan majikan dalam setiap industri.

Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, dasar kerajaan mengkehendaki majikan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan di syarikat masing-masing.
Bagaimanapun, menurut beliau, terdapat beberapa sektor terutamanya perladangan yang sangat memerlukan khidmat pekerja asing.

``Pada masa ini, kira-kira 80 peratus tenaga manusia dalam sektor perladangan terdiri daripada pekerja asing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Mempromosi Etika Kerja di Wisma MIC negeri dekat sini hari ini.

Subramaniam berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Kebangsaan (MTUC), G. Rajasekaran berhubung pembatalan permit pekerja asing baru-baru ini.

Jelas beliau, tidak ramai rakyat tempatan berminat untuk bekerja dalam sektor perladangan dan situasi itu menyebabkan majikan terpaksa mendapatkan khidmat pekerja asing.

``Difahamkan majikan-majikan dalam sektor perladangan telah berusaha meningkatkan pengambilan pekerja tempatan namun tidak berhasil.

``Tindakan membatalkan permit yang telah dikeluarkan terhadap pekerja asing akan menyulitkan majikan dalam sektor berkenaan," katanya.

Subramaniam turut memberitahu, majikan perlu melepaskan pekerja asing dahulu sekiranya mereka terpaksa mengambil langkah mengurangkan sumber manusia.

Beliau seterusnya menegaskan, kerajaan akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan dasar tersebut dipatuhi oleh kesemua majikan di negara ini.

Sementara itu, berhubung kemelut kira-kira 2,000 pekerja kilang Mitsumi Electronics Sdn Bhd di Segamat, Johor, Subramaniam menjelaskan kementeriannya akan berunding dengan majikan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Menurutnya, kerajaan maklum tentang kesulitan yang dihadapi pekerja ekoran keputusan syarikat berkenaan menutup kilang di Segamat dan menumpukan operasi pengeluaran di kilang lain miliknya dekat Batu Pahat, Johor.
(Utusan Malaysia, 23 November 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan