Teruskan cabaran Sungai Kenaboi

JELEBU 5 Nov. - Kerajaan negeri berharap program Cabaran Sungai Kenaboi akan diteruskan penganjurannya setiap tahun bagi menarik penyertaan lebih ramai pendayung kayak tempatan dan luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, program berkenaan merupakan salah satu cara mempromosi Sungai Kenaboi sebagai destinasi pelancongan sukan dan eko-pelancongan di negeri ini.

Jelas beliau, secara tidak langsung, penganjuran program itu menjadikan daerah ini dikenali sebagai salah satu lokasi sukan berkayak arus deras.

``Diharapkan program Cabaran Sungai Kenaboi dikekalkan sebagai satu acara tahunan kerana ia mendatangkan banyak manfaat untuk daerah dan negeri ini," ujarnya.

Mohamad berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah program Cabaran Sungai Kenaboi 2008 di Triang Hilir dekat sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia dan Pengaduan Awam negeri, V.S. Mogan.

Hadir sama Pengarah Seksyen Sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ong Siew Heng; Pengarah JPS negeri, Ir. Baharuddin Ahmad Nasir dan Pegawai Daerah Jelebu, Ibrahim Hassan.

Kata Mohamad lagi, penganjuran program Cabaran Sungai Kenaboi boleh memperkenal lokasi-lokasi tarikan pelancong yang menarik di daerah ini termasuk Muzium Adat, Makam Moyang Salleh, Hutan Lipur Lata Kijang, Gunung Besar Hantu dan Hutan Lipur Jeram Toi.

Sementara itu, ujar beliau, terdapat beberapa kemudahan infrastruktur di sini yang perlu diperbaiki terutamanya jalan masuk ke tapak permulaan Cabaran Sungai Kenaboi.

``Selain itu, infrastruktur asas seperti surau dan tandas perlu disediakan untuk kemudahan pendayung dan orang ramai.

``Saya percaya lebih ramai orang yang akan datang menyaksikan program ini sekiranya terdapat kemudahan asas yang lengkap di sini," jelasnya.

Mohamad turut berharap JPS negeri serta orang ramai sentiasa menjaga kebersihan Sungai Kenaboi agar segala flora dan fauna yang ada di sekitar kawasan ini kekal terpelihara.


(Utusan Malaysia, 6 November 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan