Mencabar kederasan Kenaboi

Mencabar kederasan Kenaboi
Hussaini Amran

JELEBU 5 Nov. - Kederasan Sungai Kenaboi di sini berpotensi menjadi lokasi persaingan sengit aktiviti sukan lasak terutama bagi mereka yang gemarkan acara berkayak.

Baru-baru ini seramai 175 pendayung kayak dari dalam serta luar negara telah menyertai Cabaran Sungai Kenaboi 2008 anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri di sini pada 1 hingga 2 November lalu.

Pengarah JPS negeri, Ir. Baharuddin Ahmad Nasir, berkata, program tersebut mula dianjurkan pada tahun 1993 di bawah kempen `Cintailah Sungai Kita'.

Menurut beliau, terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu cabaran jeram arus deras sepanjang 12 kilometer (km) dan cabaran sungai sepanjang 32 km.

``Penganjuran Cabaran Sungai Kenaboi kali ke-10 tahun ini membabitkan seramai 137 pendayung kategori cabaran jeram arus deras serta 38 pendayung kategori sungai," jelasnya.

Baharuddin berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Cabaran Sungai Kenaboi 2008 di Triang Hilir dekat sini baru-baru.

Bendri Dasri yang mewakili Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak muncul johan kategori cabaran jeram arus deras dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Bendri menewaskan 22 pendayung tempatan serta 16 pendayung Singapura, seorang pendayung Kanada dan seorang pendayung Australia yang menyertai kategori ini.

Johan dua acara individu kategori cabaran sungai adalah Zakaria Zahari dari Putrajaya (terbuka) serta Md. Nor Parmin selaku pendayung Polis Diraja Malaysia (tertutup).

Zakaria dan Md. Nor masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan RM800 setiap seorang.

Sementara itu, dua acara berpasukan kategori cabaran sungai yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,200 kepada johan dimenangi oleh pasukan Putrajaya (terbuka) dan pasukan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Jempol.

Kesemua pemenang menerima hadiah-hadiah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia dan Pengaduan Awam negeri, V.S. Mogan.

Menurut Baharuddin, penganjuran program Cabaran Sungai Kenaboi diharap dapat mencapai matlamat utamanya iaitu memupuk kesedaran tentang kepentingan sungai dalam kehidupan di kalangan masyarakat.

Beliau turut berharap masyarakat akan bersikap lebih mencintai sungai serta bersama-sama
bertindak secara proaktif memeliharanya.

``Program Cabaran Sungai Kenaboi juga bertujuan memperkenalkan sukan berkayak sebagai salah satu produk eko-pelancongan di negeri ini di samping memupuk semangat kesukanan dan perpaduan di kalangan peserta," ujarnya.

Dalam pada itu, Baharuddin memberitahu, terdapat cadangan daripada pendayung-pendayung luar negara supaya program tersebut diperluas penganjurannya ke peringkat antarabangsa.

Katanya, lebih ramai pendayung luar negara akan menyertai Cabaran Sungai Kenaboi sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

Jelas beliau, langkah berkenaan turut boleh mempromosi Sungai Kenaboi serta kawasan sekitarnya sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan di negara ini kepada masyarakat antarabangsa.

(Utusan Malaysia, 6 November 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan