Impak positif kepada nelayan tempatan
PORT DICKSON 23 Okt. _ Inisiatif Jabatan Perikanan menggunakan tukun tiruan dasar lembut untuk meningkatkan sumber perikanan di perairan negeri ini sememangnya sangat dialu-alukan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat, berkata, langkah berkenaan boleh memberikan impak positif kepada nelayan tempatan.
Jelas beliau, secara tidak langsung, peningkatan dalam produktiviti kegiatan perikanan pesisiran pantai akan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi penduduk setempat.
``Pertambahan populasi ikan di lokasi tukun tiruan dasar lembut akan memberi manfaat yang besar kepada golongan nelayan di sekitar kawasan ini," ujarnya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran 14 unit tukun tiruan dasar lembut di perairan Telok Kemang dekat sini baru-baru ini.
Yunus memberitahu, penggunaan tukun tiruan jenis itu juga dipercayai boleh merancakkan lagi aktiviti perikanan rekreasi di kawasan perairan berkenaan.
Katanya, tukun tiruan dasar lembut akan menjadi habitat pelbagai spesies ikan dan faktor ini akan menarik kedatangan pemancing-pemancing dari dalam dan luar negara.
Menurut beliau lagi, inisiatif Jabatan Perikanan itu memang tepat pada masanya kerana sumber perikanan di negeri ini semakin berkurangan.
``Kerancakan kegiatan pembangunan sejak beberapa dekad lalu telah menjejaskan keseimbangan ekosistem di kawasan perairan Telok Kemang.
``Akibatnya, banyak kawasan terumbu karang yang menjadi habitat semulajadi pelbagai spesies hidupan laut musnah sekaligus mendatangkan kesan negatif terhadap sumber perikanan di negeri ini," katanya.
Dalam pada itu, Yunus berharap agar Jabatan Perikanan menambah jumlah peruntukkan projek tukun tiruan yang disalurkan ke negeri ini pada tahun depan.
Beliau berkata, manfaat yang lebih besar boleh dinikmati oleh nelayan tempatan sekiranya lebih banyak tukun tiruan jenis itu dilabuhkan di kawasan perairan negeri ini.
(Utusan Malaysia, 24 Oktober 2008, m/s 26)
0 Ulasan