Tukun tiruan dasar lembut

Tukun tiruan dasar lembut

Hussaini Amran

PORT DICKSON 23 Okt. - Jabatan Perikanan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merealisasi matlamat mengekalkan hasil perikanan laut pantai negara pada jumlah 900,000 tan metrik setahun.

Antara langkah yang telah diambil oleh jabatan berkenaan ialah melabuhkan tukun-tukun tiruan dasar lembut, tetrapod serta bebola di beberapa lokasi strategik di pesisiran pantai negara ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Datuk Ahamad Sabki Mahmood, tukun tiruan dasar lembut merupakan tukun paling sesuai digunakan untuk dasar berlumpur yang sebahagian besarnya membentuk kawasan perairan negara ini.

``Tukun-tukun jenis lain pernah digunakan di perairan negeri ini serta negeri- negeri lain di Pantai Barat Semenanjung Malaysia sebelum ini namun begitu kesemuanya tenggelam dalam masa tujuh bulan.

``Kajian Jabatan Perikanan mendapati tukun tiruan dasar lembut lebih sesuai dengan struktur dasar laut berlumpur di perairan negeri ini," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran 14 unit tukun tiruan di kawasan perairan Telok Kemang di sini baru-baru ini.

Pelancaran dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat.

Jelas Ahamad Sabki, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan oleh pihaknya untuk membiayai projek tukun tiruan dasar lembut di perairan Telok Kemang pada tahun ini.

Beliau berkata, projek berkenaan merupakan yang pertama dilaksanakan di negeri ini dan ia berupaya menyumbang ke arah peningkatan sumber perikanan di sini.

``Nelayan tempatan boleh mengaut hasil sehingga 100 kilogram ikan dari setiap unit tiruan yang dilabuhkan," ujarnya.

Kata Ahamad Sabki, kesemua 14 unit tukun tiruan dasar lembut berkenaan dilabuhkan di lokasi yang terletak kira-kira 1.3 batu nautika dari kawasan pantai Telok Kemang.

Secara keseluruhannya, jelas beliau, lokasi seluas 729 meter persegi diperlukan untuk melabuhkan 14 unit tukun tiruan berkenaan.

``Selepas lapan bulan tukun-tukun tiruan tersebut dilabuhkan, lokasi itu dijangka akan dipenuhi pelbagai spesies ikan pelagik serta `demersal' bersaiz kecil dan komersial.

``Di samping itu, lokasi berkenaan juga akan menjadi `tapak semaian' untuk anak-anak ikan membesar," katanya.

Ahamad Sabki memberitahu, reka bentuk tukun tiruan dasar lembut tersebut dihasilkan melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan sejak tahun 2006.

Menurut beliau, tukun tiruan jenis itu mempunyai kawasan teduhan untuk ikan bergerak bebas, memberi rintangan yang minima kepada arus, kalis pukat tunda serta tidak tenggelam bila dilabuhkan di dasar laut.

Ujar Ahamad Sabki lagi, tukun tiruan dasar lembut yang dibuat dengan menggunakan rangka besi dan konkrit mempunyai ketinggian 3.6 meter serta tapak seluas 9 meter persegi.

Sementara itu, beliau berkata, 61 unit tukun tiruan dasar lembut telah dilabuhkan di perairan Selangor serta 49 unit tukun jenis sama telah dilabuhkan di perairan Kedah.

Katanya lagi, Jabatan Perikanan merancang untuk menambah sehingga 100 unit tukun tiruan dasar lembut di setiap lokasi supaya mendatangkan impak yang lebih ketara terhadap usaha meningkatkan sumber perikanan negara.
(Utusan Malaysia, 24 Oktober 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan