Jenis baldu tentukan harga songkok

Jenis baldu tentukan harga songkok

PORT DICKSON 18 Sept. - Seorang pembuat songkok, Abdullah Husin, 60, berkata, kebanyakan songkok yang dihasilkannya terdiri daripada jenis rendah dan tinggi.

Kata beliau, songkok rendah mempunyai ketinggian antara 8 dan 10 sentimeter manakala songkok tinggi pula melebihi 10 sentimeter.

Tambahnya, setiap satu songkok rendah dan tinggi buatannya boleh dibeli pada harga runcit antara RM9 dan RM65.

''Harga bagi setiap songkok pula ditentukan jenis kain baldu yang digunakan. Songkok tinggi juga harganya lebih mahal berbanding songkok biasa," ujar Abdullah.

Beliau memberitahu, terdapat lima jenis kain baldu yang digunakannya untuk membuat songkok orang dewasa iaitu '3-crown', 'super', 'kabul', 'kuda emas' serta 'benang seribu'.

Sementara itu, katanya, songkok kanak-kanak dibuat dengan menggunakan kain baldu Korea.

Menurut Abdullah, songkok lipat jenis kain biasa dijual pada harga RM5.50 manakala jenis baldu boleh dibeli pada harga serendah RM8 hingga RM15 setiap satu.

''Untuk belian secara borong, harga boleh dirunding berdasarkan kepada kuantiti songkok," jelas beliau.

Katanya, orang ramai yang berminat membeli songkok boleh menghubunginya di talian 012-9036720 untuk tempahan atau maklumat lanjut.

(Utusan Malaysia, 19 September 2008, m/s 30)

Catat Ulasan

0 Ulasan