Songkok Abdullah laris

Songkok Abdullah laris


ABDULLAH Husin dibantu anaknya, Musalmah Abdullah (kanan) menyusun songkok di Lukut, Port Dickson, semalam.


PORT DICKSON 18 Sept. - Orang ramai khususnya umat Islam kini mula sibuk membeli baju raya dan kelengkapan lain sebagai persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Selain baju raya, songkok juga antara kelengkapan raya yang menjadi tumpuan untuk dipakai dengan baju Melayu di pagi Syawal.

Songkok juga dipakai ketika menghadiri acara rasmi diraja dan kerajaan, kenduri serta majlis perkahwinan.

Maka, tidak hairanlah songkok masih digunakan hingga sekarang biarpun fesyen pakaian sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

Menurut seorang pembuat songkok, Abdullah Husin, 60, rezekinya semakin bertambah setiap kali tibanya Ramadan.

Beliau berkata, permintaan yang diterima sepanjang bulan puasa sangat menggalakkan dan kadang-kala di luar kemampuannya.

''Maklumlah usia semakin lanjut dan tenaga pun semakin kurang. Kalau terima terlalu banyak tempahan, bimbang juga tak sempat disiapkan mengikut masa," jelas Abdullah ketika ditemui di rumahnya dekat Lukut di sini hari ini.

Ujar beliau, pada musim perayaan tempahan yang diterima berjumlah sekitar 5,000 hingga 6,000 songkok dan kebanyakannya daripada pemborong di sekitar negeri ini, Melaka serta Johor.

Selain menghasilkan secara pukal, beliau juga bersedia membuat songkok yang ditempah khusus oleh individu.

Abdullah yang turut dibantu oleh isterinya, Laila Khamis, 45, membuat songkok sepenuh masa di rumahnya sejak 40 tahun lalu.

Beliau yang mewarisi kemahiran membuat songkok daripada ayah dan bapa saudaranya berkata, modal permulaannya RM10,000 untuk membeli enam mesin jahit, kain baldu serta peralatan lain dikeluarkan dengan menggunakan wang simpanan sendiri.

''Walaupun saya mempunyai enam mesin jahit, jumlah songkok yang diterima untuk tempahan terpaksa dibataskan kerana semua kerja dilakukan oleh saya dan isteri.

''Dulu anak-anak saya yang seramai lapan orang turut membantu. Namun, kini hanya tinggal anak bongsu saya yang berusia 12 tahun, Musalmah, membantu membuat songkok kerana yang lain telah pun berpindah," ujarnya.

Pembuat songkok berpengalaman itu menaruh harapan yang besar terhadap anak sulungnya, Ismail, 24, untuk mewarisi perniagaan membuat songkok pada masa akan datang.

Jelas Abdullah, Ismail yang kini bekerja di sebuah kilang sememangnya lebih mahir membuat songkok berbanding dengan adik-adiknya.

''Saya perhatikan, sejak kecil Ismail memang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang ini," kata beliau.

Di samping itu, Abdullah juga bersedia menurunkan kemahiran membuat songkok kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Menurutnya lagi, seorang pembuat songkok perlu tekun serta mementingkan ketelitian semasa membuatnya.

''Sekali pandang, memang nampak mudah. Tetapi jika tidak teliti, songkok yang dibuat berkemungkinan besar tidak sama dengan kehendak pelanggan," ujar Abdullah.

Ditanya tentang perancangannya, beliau berhasrat untuk berpindah ke sebuah bengkel serta menggaji pekerja bagi memajukan lagi perniagaannya.

Abdullah turut merancang untuk memohon bantuan kewangan daripada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan supaya operasi perniagaannya dapat dikembangkan.

(Utusan Malaysia, 19 September 2008, m/s 30)

Catat Ulasan

0 Ulasan