Kayu kemuning pilihan buat hulu dan sarung

Kayu kemuning pilihan buat hulu dan sarung


Sebahagian daripada parang yang dihasilkan oleh Anizam Mohd. Deris di bengkelnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
GAMBAR Mohd Shahjehan Maamin


KUALA PILAH 11 Sept. - Tukang membuat parang, Anizam Mohd. Deris, 38, sememangnya agak cerewet semasa memilih jenis kayu yang ingin dijadikan hulu dan sarung parang.

Beliau berkata, kayu-kayu yang dipilih hendaklah mempunyai corak yang cantik, tahan lama serta tidak mudah retak.

Jelasnya, jenis-jenis kayu yang selalu menjadi pilihan adalah kemuning, sepetir, angsana dan ru.

Menurut Anizam, kayu jenis kemuning hitam merupakan yang paling sukar diperoleh dan beliau membelinya daripada masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan Tasik Chini, Pahang.

''Harga bagi sebilah parang juga ditentukan jenis kayu yang dijadikan sebagai hulu dan sarungnya," ujar beliau.

Anizam memberitahu, parang untuk menyembelih dan melapah yang dihasilkan di bengkelnya dijual pada harga di antara RM60 dan RM150 sebilah.

Bagi parang hiasan pula, kata beliau, harganya lebih mahal kerana proses mereka bentuk serta mengukir corak hiasan pada hulu dan sarung agak rumit.

''Kebiasaannya, saya memerlukan masa sehingga seminggu untuk menyiapkan sebilah parang hiasan yang ditempah pelanggan.

''Hasilnya memang lumayan kerana parang jenis ini boleh dijual sehingga RM450 sebilah," jelasnya.

Tambah Anizam, reka bentuk serta corak ukiran pada hulu dan sarung dibuat berdasarkan kepada bentuk besi parang.

Beliau juga bersedia menghasilkan hulu dan sarung parang mengikut reka bentuk dan corak ukiran yang diingini pelanggan.

Sehubungan itu, kata Anizam, orang ramai yang berminat boleh menghubunginya di talian 016-6060440 untuk tempahan atau maklumat lanjut.

(Utusan Malaysia, 12 September 2008, m/s 30)

Catat Ulasan

0 Ulasan