Anizam tukang parang

Anizam tukang parang


ANIZAM Mohd. Deris bersama sebahagian daripada parang yang dihasilkan di bengkel pertukangan parang miliknya di Rumah Rakyat Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
- Gambar MD.SHAHJEHAN MAAMIN


KUALA PILAH 11 Sept. - Setiap kali Hari Raya Aidifitri menjelang, seorang tukang parang di daerah ini, Anizam Mohd. Deris, 38, pasti bertungkus-lumus menyiapkan parang-parang yang ditempah pelanggan.

Menurut beliau, sebanyak 50 bilah parang khusus bagi kegunaan menyembelih haiwan dan melapah daging perlu disiapkan sepanjang bulan Ramadan setiap tahun.

Jelas Anizam, kadangkala beliau terpaksa bekerja hingga ke malam bagi menghasilkan sekurang-kurangnya dua bilah parang dalam masa sehari.

''Memanglah penat... namun permintaan pelanggan mesti saya penuhi," kata beliau ketika ditemui di bengkel pertukangan parang miliknya di Rumah Rakyat Ampang Tinggi dekat sini hari ini.

Ujarnya, di luar musim perayaan jumlah parang yang ditempah lazimnya antara 20 dan 30 bilah sebulan.

Anizam berkata, seni pertukangan parang mula dipelajarinya sejak lapan tahun lalu semasa masih bekerja sebagai pemandu lori.

Jelasnya, pada ketika itu, dia berguru dengan seorang tukang parang berpengalaman yang hanya dikenali sebagai Haji Razal.

Beliau terdorong untuk belajar seni pertukangan parang setelah tertarik dengan kehalusan reka bentuk hulu serta sarung parang yang dihasilkan oleh gurunya yang kini telah pun meninggal dunia.

''Arwah datuk saya juga merupakan seorang tukang parang yang mahir. Jadi, 'darah tukang parang' memang telah sedia mengalir di dalam tubuh saya.

''Mungkin itu juga salah satu faktor yang menyebabkan saya begitu berminat berkecimpung dalam bidang ini," jelas beliau.

Setelah yakin dengan kemahiran yang dimiliki, pada 2006, Anizam nekad meninggalkan pekerjaan sebagai pemandu lori untuk menceburi bidang pertukangan parang secara sepenuh masa.

Menurut bapa kepada dua anak lelaki ini, berkat sokongan dan dorongan keluarga menjadikannya cekal menjalani kehidupan sebagai tukang parang.

''Bidang ini juga memberi kepuasan kepada diri saya lebih-lebih lagi setelah berjaya menyiapkan parang seperti yang dikehendaki pelanggan," ujarnya.

Beliau juga tidak keberatan untuk menurunkan ilmu pertukangan parang kepada sesiapa sahaja yang berminat mempelajarinya agar kemahiran tersebut tidak terus pupus ditelan zaman.

Kata Anizam lagi, seseorang yang ingin bergiat dalam bidang pertukangan parang perlu mempunyai minat yang mendalam serta bersemangat kental.

Selain itu, ujarnya, individu berkenaan juga hendaklah memiliki sifat sabar dan daya kreativiti yang tinggi.

''Maklumlah, sebilah parang mengambil masa tidak kurang daripada tiga jam untuk disiapkan hulu dan sarungnya. Selain memakan masa yang panjang, prosesnya juga agak rumit dan teliti.

''Jika sifat-sifat tersebut tiada dalam diri, sudah tentu kita cepat rasa jemu serta mudah putus asa," jelas beliau.

Di samping itu, Anizam berpandangan sokongan dan insentif kerajaan juga perlu bagi memartabatkan lagi industri pertukangan parang di negeri ini.

Beliau percaya, selain untuk kegunaan harian, parang juga berpotensi dikomersialkan sebagai salah satu produk kraf tangan atau perhiasan dalaman.

(Utusan Malaysia, 12 September 2008, m/s 30)

Catat Ulasan

0 Ulasan