Serap pekerja ladang ke jawatan tetap
SEREMBAN 7 Sept. - Kerajaan negeri mengarahkan agar kesemua pekerja kontrak tempatan yang sedang berkhidmat dalam sektor perladangan diserap ke jawatan tetap sebelum hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam negeri, V.S. Mogan berkata, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan kebajikan pekerja ladang tempatan terbela.
Katanya, langkah itu memang kena pada masanya kerana telah banyak aduan diterima tentang agen pembekal sumber manusia mengabaikan kebajikan pekerja ladang tempatan yang berkhidmat secara kontrak.
''Saya minta kesemua agen atau kontraktor pembekal sumber manusia terbabit mematuhi arahan ini," kata Mogan ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan kontraktor pembekal sumber manusia tentang penyelarasan gaji serta isu kebajikan pekerja ladang.
''Terdapat aduan tentang pekerja ladang menerima gaji yang tidak setimpal dengan beban tugas yang dilaksanakan.
''Kerajaan negeri akan memantau secara berterusan bagi memastikan isu ini tidak berulang," tegasnya.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited berhubung kebajikan pekerja ladang di kesemua 115 ladang getah dan kelapa sawit di sekitar negeri ini.
(Utusan Malaysia, 8 September 2008, m/s 27)
0 Ulasan