Budayakan kecemerlangan akademik - Mohamad

Budayakan kecemerlangan akademik - Mohamad

SEREMBAN 7 Sept. - Kesemua pelajar dari negeri ini yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diseru agar sentiasa menghayati budaya berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah tersebut adalah sejajar dengan hasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan negeri ini dalam bidang pendidikan.

Beliau turut berharap agar pelajar-pelajar IPT mengikut jejak langkah tokoh ilmuwan negara, Pendita Zaaba, yang juga merupakan anak negeri ini.

''Justeru, saya meminta pelajar-pelajar IPT anak Negeri Sembilan menjadikan kecemerlangan sebagai satu budaya dalam kehidupan mereka," ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajaran IPT di Wisma Negeri, dekat sini baru-baru ini.

Mohamad menjelaskan, pelajar-pelajar IPT dari negeri ini perlu bekerja keras untuk muncul sebagai pelajar cemerlang.

Beliau memberitahu, jumlah penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Negeri Sembilan pada tahun lalu iaitu sebanyak 27 orang menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding dengan hanya seorang pada tahun 2006.

''Sehingga Ogos tahun ini, seramai 14 graduan lulusan IPT dari negeri ini berjaya menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.

''Jumlah berkenaan akan bertambah kerana seramai 34 graduan berada dalam senarai menunggu manakala 15 permohonan lagi telah diterima dan diproses oleh Yayasan Negeri Sembilan," ujarnya.

Beliau berkata, Yayasan Negeri Sembilan juga telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM930,000 kepada 42 pelajar cemerlang dari tahun 2006 hingga Ogos 2008.

Dalam pada itu kata Mohamad, pelajar-pelajar IPT yang berasal dari kawasan luar bandar di sekitar negeri ini tidak seharusnya berasa rendah diri semasa menuntut ilmu.

''Saya sendiri berasal dari Rantau yang dikategorikan sebagai kawasan luar bandar. Namun, berkat usaha yang gigih, saya telah membuktikan anak desa juga mampu berjaya dalam bidang akademik, perniagaan serta politik," jelasnya.

Menurut beliau, tidak pernah tertulis di mana-mana pun bahawa kejayaan dalam bidang akademik hanya boleh dikecapi oleh pelajar-pelajar yang berasal dari kawasan bandar.

(Utusan Malaysia, 8 September 2008, m/s 27)

Catat Ulasan

0 Ulasan