Peserta cekal bakar 1,000 lemang

Peserta cekal bakar 1,000 lemang

KUALA PILAH 3 Sept. - Biarpun terpaksa berdepan dengan kehangatan bara api dan asap tebal yang memedihkan mata, para peserta program Homestay Laman Bangkinang tetap cekal menjayakan aktiviti membakar 1,000 batang lemang di sini baru-baru ini.

Penyelaras aktiviti berkenaan, Sudin Sulihan, 42, berkata, kira-kira 100 penduduk Kampung Keru, Kampung Tengkek, Kampung Tampin Post, Kampung Sungai Talan serta Kampung Terentang yang menyertai program Homestay Laman Bangkinang di sini terbabit dalam kerja-kerja menyedia dan membakar lemang.

Selain itu, tambah beliau, mereka turut dibantu oleh 40 pelajar Institut Kemahiran Belia Negara Dusun Tua, Hulu Langat.

"Aktiviti membakar lemang ini dianjurkan secara bersama oleh Homestay Laman Bangkinang serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tapak, K-Bestari Laman Bangkinang dan UMNO Cawangan Kampung Tapak," ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jelas Sudin, sebanyak 250 kilogram (kg) beras pulut, 160kg santan kelapa serta 1,000 batang buluh digunakan pada kali ini.

Selain itu, beliau memberitahu, sebanyak 100 kg daging lembu digunakan untuk memasak rendang.

Menurutnya, kerja-kerja menyedia dan membakar lemang bermula sejak pukul 8.30 pagi bawah seliaan 'pakar lemang' berpengalaman, Kamariah Alias, 69, dan selesai pada pukul 3 petang.

"Walaupun memakan masa yang panjang, kemeriahan suasana dan keseronokan bekerja secara bergotong-royong membuatkan kami tidak berasa penat.

"Kami juga gembira kerana berjaya memecahkan rekod sendiri iaitu membakar 500 batang lemang pada tiga tahun lalu," kata Sudin.

Ujar beliau, aktiviti berkenaan juga membantu merapatkan hubungan silaturrahim antara peserta homestay dan pelatih IKBN Dusun Tua.

Katanya, pihak homestay juga bercadang untuk menjadikan aktiviti itu sebagai salah satu acara tahunan bagi memikat lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, menurut Sudin, mereka juga bertekad untuk membakar lebih banyak lemang pada masa akan datang.

"Kalau boleh, kami hendak mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records pada tahun depan" jelasnya.

(Utusan Malaysia, 4 September 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan