'Lomang' Laman Bangkinang
KUALA PILAH 3 Sept. - Lemang merupakan sejenis juadah tradisional yang digemari oleh segenap lapisan masyarakat di negeri ini lebih-lebih lagi ketika menyambut Aidilfitri.
Juadah yang menggunakan ramuan utama beras pulut dan santan kelapa itu memang enak dimakan bersama rendang ayam atau daging.
Proses penyediaannya yang bermula dari memasukkan bahan ke dalam buluh sehingga membakar juga agak rumit dan memakan masa.
Kesemua cabaran itu tidak mematahkan semangat peserta Homestay Laman Bangkinang di sini untuk membakar 1,000 batang lemang baru-baru ini walaupun terpaksa berdiang di depan bara api dan dikerumuni asap tebal.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, aktiviti berkenaan dianjurkan sempena sambutan Pesta Mogang 2008.
Jelas beliau, program tersebut juga bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana menyambut bulan Ramadan di kalangan masyarakat Islam di sini.
"Aktiviti membakar lemang ini merupakan satu acara yang unik dan ia berpotensi dimajukan sebagai salah satu program tetap di Homestay Laman Bangkinang," ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Mogang 2008 di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPNS), Badrulhisham Abd. Rahman.
Selain membakar lemang, pelbagai aktiviti lain seperti persembahan tarian randai dan sukan warisan turut diadakan bagi menyambut Pesta Mogang 2008.
Mohammad Razi berkata, program yang serupa pernah dianjurkan oleh Homestay Laman Bangkinang tiga tahun lalu namun jumlah lemang yang dibakar pada masa itu hanya 500 batang.
Lebih istimewa, menurut beliau, seramai 40 pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat turut berganding bahu membakar lemang bersama peserta homestay pada kali ini.
"Saya dapat melihat pelajar IKBN yang kebanyakannya berasal dari Sabah dan Sarawak begitu teruja kerana berpeluang mengalami sendiri kemeriahan suasana membakar lemang di sini.
"Malah ada yang menyatakan mereka tidak pernah memakan lemang sebelum ini. Sudah tentu pengalaman ini akan menjadi nostalgia yang istimewa kepada mereka," jelasnya.
Sehubungan itu, Mohammad Razi berkata, semua homestay di negeri ini disaran supaya mencontohi Laman Bangkinang dengan menjadikan aktiviti membakar lemang sebagai salah satu acara tahunan.
Tambah beliau, langkah berkenaan juga bertujuan mempelbagaikan lagi produk pelancongan yang ditawarkan oleh pihak homestay.
Dalam pada itu, katanya, pihak homestay juga digalak menganjurkan program korban dan akikah khusus untuk pengunjung yang beragama Islam.
Jelas Mohammad Razi, program itu boleh meningkatkan jumlah pengunjung beragama Islam dari negara jiran seperti Singapura untuk menetap di homestay.
"Kerajaan negeri menyasarkan kira-kira 1,000 pelancong dari Singapura akan menyertai program korban pada Aidiladha tahun ini," ujarnya.
Mohammad Razi memberitahu, selain homestay, kerajaan negeri juga akan meminta kerjasama semua hotel dan resort di negeri ini bagi menjayakan program itu.
Katanya lagi, MTPNS dan Tourism Malaysia Negeri Sembilan akan ke Singapura dalam masa terdekat untuk menjalankan aktiviti mempromosi program tersebut.
(Utusan Malaysia, 4 September 2008, m/s 26)
0 Ulasan