Cadang bina institusi penyelidikan pertanian

Cadang bina institusi penyelidikan pertanian

SEREMBAN 5 Sept. - Kerajaan Negeri Sembilan bercadang mewujudkan sebuah institusi penyelidikan pertanian bertaraf universiti, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, institusi berkenaan akan memberi tumpuan terhadap aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian khususnya yang melibatkan kelapa sawit.

Jelas beliau, langkah berkenaan dipercayai boleh menyumbang kepada penghasilan pelbagai produk yang ditambah nilai daripada komoditi itu.

''Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui juga telah memberikan maklum balas yang positif terhadap cadangan ini," katanya.

Mohamad berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Wisma Negeri di sini hari ini.

Seramai 158 pelajar yang diterima melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menerima sumbangan berkenaan.

Kata beliau, aktiviti R&D di institusi itu akan dibiayai melalui geran kerajaan serta hasil kutipan ses daripada sektor perladangan kelapa sawit.

Mohamad memberitahu, kemasukan ke institusi tersebut tidak dibuka untuk pelajar lepasan sekolah dan sebaliknya keutamaan akan diberikan kepada penyelidik dari dalam serta luar negara.

''Negara lain di rantau Asia Tenggara seperti Thailand telah lama mencapai kemajuan dalam aktiviti R&D pertanian.

''Sudah tiba masanya kita mengikut langkah yang serupa dan penubuhan institusi ini akan merealisasikan hasrat berkenaan," ujarnya.

Tambah beliau, selain aktiviti R&D, institusi tersebut akan memberi tumpuan terhadap usaha mengkomersialkan produk serta kajian yang dihasilkan.

Menurut Mohamad, cadangan penubuhan institusi berkenaan masih lagi di peringkat awal dan beliau menyatakan ia mungkin dibina sama ada di sekitar Rembau atau Bandar Seri Sendayan.

(Utusan Malaysia, 6 September 2008, m/s 27)

Catat Ulasan

0 Ulasan