Wawasan 2020 perlu perpaduan
|
SEREMBAN 31 Ogos - Sasaran untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tidak mungkin tercapai jika tiada semangat perpaduan dan toleransi di kalangan rakyat untuk menjayakannya.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua pihak perlu mengukuhkan perpaduan di peringkat akar umbi dan bukan hanya setakat berbangga dengan kemajuan lahiriah dan fizikal.
''Justeru, saya yakin bahawa setiap anggota masyarakat akan terus mempamerkan nilai-nilai kematangan diri untuk menguasai impian kecemerlangan berpandukan kepada faktor perpaduan," ujarnya.
Beliau berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-51 peringkat negeri di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin.
Sebanyak 58 kontinjen melibatkan seramai 6,545 peserta mewakili parti politik, jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta, institusi pendidikan, polis serta tentera dari seluruh negeri menyertai perarakan sempena majlis sambutan tersebut.
Di samping itu, tegas beliau, semua pihak perlu mengimbau kembali sejarah pertautan antara kaum yang telah sedia wujud sejak negara mencapai kemerdekaan.
''Ramai yang lupa persefahaman yang tidak tercatat tetapi tersirat antara pemimpin-pemimpin negara terdahulu semasa merintis perjalanan menuju kemerdekaan," katanya.
Menurut beliau, hakikat ini tidak dapat disanggah walaupun struktur sosiopolitik negara pada hari ini seolah-olah dicabar oleh beberapa pihak.
''Tiada siapa pun yang boleh menafikan falsafah perpaduan kaum yang dipelopori oleh kerajaan yang memerintah sejak negara merdeka daripada belenggu penjajah,'' katanya.
(Utusan Malaysia, 1 September 2008, m/s 27)
0 Ulasan