Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menggesa siasatan dijalankan segera terhadap bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung skandal Arm Ltd.
Menurut beliau, Rafizi juga boleh memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Dia boleh kata mana ada duit berbilion ringgit telah masuk akaun banknya seperti Datuk Seri Najib Razak.
"Itu bukan isunya. Salah laku dan menipu banyak caranya," katanya dalam hantaran Facebook pada 2 April 2026.
Mohd. Puad menambah, Rafizi tidak perlu mengalihkan isu kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan dalam mesyuarat Kabinet.
"Meminda draf pun Najib kena dakwa sampai ada orang lain dapat pingat.
"Mahkamah putuskan Najib kena bayar balik AS$1.3 bilion kepada SRC kerana Najib yang luluskan pinjaman dari KWAP.
"Tetapi kenapa CEO dan ahli lembaga pengarah seperti Ismee Ismail, Suboh Md. Yassin, Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dan Che Abdullah tidak didakwa?" katanya.
Beliau juga meminta Rafizi memujuk bekas pegawai khasnya, James Chai pulang segera ke Malaysia untuk memberi keterangan.
"Takut apa balik. Kenapa jadi pelarian macam Jho Low dan menantu Muhyiddin?" katanya.
Mohd. Puad turut bersedia untuk menanggung tambang perjalangan pulang James Chai ke negara ini.
"Tetapi kelas ekonomilah. Justeru Rafizi jangan terlajak 'innocent'," katanya.

0 Ulasan