Barangan klasik pikat pengunjung

Barangan klasik pikat pengunjung

SEREMBAN 16 Julai - Rata-rata pelanggan yang membeli barangan antik atau klasik di Senawang Home Decor memiliki kecenderungan dan cita rasa tersendiri serta sanggup berbelanja besar untuk mendapat barang yang diidamkan.

Seorang pelanggan, Zolkapli Mohd. Darus, 51, menjelaskan bahawa beliau tidak keberatan mengeluarkan wang sehingga RM2,000 sebulan bagi membeli barangan tembaga antik yang menarik perhatiannya.

Beliau yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Teknik Ampangan di sini berkata, kebiasaannya dia membeli barangan tembaga seperti bekas bunga pahar, tepak sirih, dulang dan dupa untuk dijadikan koleksi peribadi.

''Saya memang berminat dengan barangan tembaga antik kerana kualiti dan kehalusan buatannya yang nyata jauh lebih baik jika dibandingkan dengan barangan tembaga yang dihasilkan sekarang," ujarnya ketika ditemui di sini.

Zolkapli menambah, beliau telah menjadi pelanggan tetap Senawang Home Decor selama lapan tahun dan bercadang untuk menjadikan satu sudut di rumahnya sebagai galeri pameran barangan tembaga antik.

Menurut seorang lagi pelanggan, Amirudin Baharuddin, 40, pengalamannya berkecimpung selama lebih 15 tahun dalam mengumpul barangan antik menjadikan beliau seorang yang mahir dalam bidang tersebut .

''Malah, dengan mencium bau sahaja saya sudah dapat mengetahui sama ada barangan itu benar-benar antik atau sebaliknya," ujar beliau yang juga pemilik bengkel membaiki motosikal klasik dekat sini.

Selain itu, kata Amirudin, keaslian barangan antik juga boleh dinilai melalui warna dan beratnya.

Sementara itu, pelanggan, Rozita Mat Darus, 40, sanggup berulang-alik dari rumahnya di Kuala Pilah ke sini sekiranya dimaklumkan terdapat barangan antik yang diidamkannya.

''Saya lebih menggemari barangan antik yang dibuat di England seperti kipas siling, semua jenis jam serta kereta mainan dan saya memulakan koleksi sejak enam tahun yang lalu," jelas beliau.

Tambahnya lagi, Senawang Home Decor menjadi pilihan utama kerana barangan antik yang dijual sememangnya unik dan sukar ditemui di tempat lain serta harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Dalam pada itu, Pengurus Jualan Barangan Antik Senawang Home Decor, Rafiuddin Baharuddin, berkata, hampir kesemua pelanggan yang datang ke kedainya merupakan pakar barangan antik.

Menurut beliau, lazimnya pelanggan tidak perlu diberi penerangan yang panjang lebar dan terperinci kerana mereka memiliki pengetahuan luas tentang barangan antik yang ingin dibeli.

(Utusan Malaysia, 17 Julai 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan