Tarikan hiasan antik
|
SEREMBAN 16 Julai – Biarpun kelihatan usang dimakan zaman, barangan antik mempunyai daya tarikan tersendiri serta menjadi kegilaan ramai orang bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.
Dewasa ini, bilangan peminat barangan antik semakin bertambah kerana ramai yang menjadikan kegiatan mengumpul barangan berkenaan sebagai hobi.
Menyedari potensi barangan antik di pasaran, pemilik Senawang Home Decor, Lokman Atan, 38, telah memulakan perniagaan menjual barangan antik sejak kira-kira empat tahun lalu.
Menurutnya, beliau lebih cenderung untuk memperkenalkan konsep menggabungkan barangan antik sebagai satu elemen dalam hiasan dalaman.
‘‘Selalunya, saya akan mencadangkan kepada pelanggan beberapa barangan antik yang difikirkan sesuai bagi dijadikan hiasan di dalam rumah atau pejabat,” ujar beliau ketika ditemui di kedainya di sini hari ini.
Lokman menambah, pada mulanya perniagaan ini diusahakan secara kecil-kecilan di rumah dan atas permintaan ramai pelanggan, beliau membuka kedai menjual barangan antik di samping menyediakan khidmat hiasan dalaman.
Kata beliau, sambutan yang diterima memang sangat menggalakkan dan pelanggan-pelanggan yang mengunjungi Senawang Home Decor datang dari seluruh pelosok negara.
‘‘Malah ada juga pelanggan dari luar negara seperti Singapura, Jerman dan Korea Selatan datang membeli-belah di sini,” jelasnya.
Ujar Lokman, antara barangan antik yang dijual di kedainya termasuk pelbagai jenis senjata, tembikar, duit syiling, wang kertas, jam, gong dan kipas yang berusia dalam lingkungan 50 hingga 500 tahun.
Jelasnya lagi, salah satu barangan yang sering menarik perhatian pelanggan ialah selaras meriam berusia hampir 500 tahun yang pernah digunakan oleh penjajah Portugis di Melaka.
‘‘Kami juga bersedia mencari barangan antik seperti yang diinginkan pelanggan dan memaklumkan kepada mereka setelah barangan berkenaan berada dalam simpanan kami,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Jualan Barangan Antik Senawang Home Decor, Rafiuddin Baharuddin, 42, memberitahu, lazimnya beliau tidak mempunyai masalah untuk mencari barangan antik yang dipesan pelanggan.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan ‘Roy’ berkata, terdapat ramai kenalannya di seluruh negara yang bertindak sebagai ‘pemburu’ barangan antik.
‘‘Mereka memiliki kepakaran dalam mengenal pasti sama ada barangan antik yang hendak dijual itu asli atau tiruan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, Senawang Home Decor turut membeli barangan antik secara terus daripada pemilik-pemilik yang berminat untuk menjualnya.
Namun, ujar Rafiuddin, beliau sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti mencatat butiran diri melalui kad pengenalan penjual bagi mengelak daripada membeli barangan antik yang dicuri.
‘‘Sekiranya barangan antik tersebut disyaki dicuri, kami akan memaklumkannya kepada pihak berkuasa dengan serta-merta,” tegas beliau.
Mengenai harga, jelasnya, barangan antik yang dijual atau dibeli oleh pihaknya akan dinilai berdasarkan kepada usia, keadaan, keunikan serta kesukaran memperolehinya.
Sehubungan itu, kata Rafiuddin, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut serta ingin memesan atau menjual barangan antik boleh menghubungi beliau di talian 013-6166888 atau Lokman di 019-3575109.
Tambahnya, mereka juga boleh datang terus ke Senawang Home Decor di alamat No 116-G, Jalan Komersial 6, Taman Komersial Senawang di sini.
(Utusan Malaysia, 17 Julai 2008, m/s 26)
0 Ulasan