Minyak: Jangan terpengaruh dakyah pembangkang

Minyak: Jangan terpengaruh dakyah pembangkang

KUALA PILAH 14 Julai - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasan Malek meminta orang ramai di daerah ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah palsu berhubung kenaikan harga minyak yang disebarkan oleh pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, kebelakangan ini pembangkang sering memainkan sentimen rakyat mendakwa harga minyak boleh diturunkan sekiranya mereka memerintah negara.

Katanya, dakwaan berkenaan merupakan satu pembohongan semata-mata kerana kenaikan harga minyak merupakan satu fenomena global yang turut dirasai kesannya di negara-negara lain.

"Sehubungan itu, saya meminta rakyat tidak mempercayai dakwaan tersebut bulat-bulat kerana pembangkang sendiri tidak mempunyai sebarang pengaruh ke atas harga minyak di pasaran dunia," ujar Hasan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Hati Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri Johol, Peringkat Parlimen Kuala Pilah di Balai Raya Kampung Ulu Inas dekat sini semalam.

Tambahnya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah melaksanakan beberapa langkah proaktif bagi menangani kenaikan harga minyak.

Menurut Hasan, antara langkah-langkah yang telah diambil termasuk memotong elaun Menteri kabinet sebanyak 10 peratus, memberi rebat kepada pemilik kenderaan serta meneruskan subsidi gula dan beras.

"Kesemua langkah berkenaan menunjukkan kerajaan sanggup berkorban bagi menangani isu ini sedangkan pembangkang hanya pandai berkata-kata sahaja.

"Malah, saya percaya, rakyat akan lebih susah dan negara akan hancur binasa sekiranya pembangkang yang memegang tampuk pemerintahan," kata beliau.

Di samping itu jelasnya, orang ramai juga perlu menyesuaikan diri dengan mengambil langkah berjimat-cermat dalam kehidupan seharian mereka.

Hasan berkata, penggunaan utiliti seperti elektrik seharusnya dilakukan dengan bijaksana bagi mengelak pembaziran berlaku.

Selain itu, orang ramai juga perlu mencari jalan bagi menambah pendapatan serta mengawal kos perbelanjaan harian mereka.

(Utusan Malaysia, 15 Julai 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan